Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Pembinaan model kapal imbau sejarah perkapalan Macau

    MACAU – Lam Wai Kau seorang pesara, tetapi masih hadir untuk kerja hampir setiap hari.

    Lelaki berusia 70 tahun itu menjaga pameran di sebuah bengkel kecil di tepi laut di pulau Coloane, wilayah Pentadbiran Khas Macau, China.

    Bangunan itu, yang pernah menjadi rumah kepada Persatuan Pekerja Limbungan Macau, kini menempatkan berpuluh-puluh model kapal yang ada di antaranya berukuran 20cm hingga hampir satu meter panjang. Ia merupakan model replika kapal yang bersejarah dan pernah menjadi tunjang utama industri perikanan bandar.

    Banyak yang dibuat oleh Lam sendiri. Hanya ada segelintir tukang yang tinggal di Macau yang mampu melakukan kerja sedemikian.

    “Dahulu kami semua adalah pekerja limbungan kapal,” katanya.

    Lam dengan salah satu model kapal replika yang masih dalam proses pembuatan. – Agensi
    Salah satu model kapal replika yang sudah siap dibina dan dipamerkan. – Agensi
    Keadaan bengkel kecil yang menjadi tempat Lam membuat model kapal di pinggir laut Macau. – Agensi

    “Kami tidak mahu melihat kemahiran bertukang kami hilang untuk generasi akan datang.”

    “Setiap model mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan,” kata Lam kepada Xinhua.

    “Kami mula-mula melukis reka bentuk, kemudian membuat komponen seperti rangka dan geladak, dan akhirnya menggabungkan semuanya bersama-sama.”

    Tam Kam Kwong, presiden persatuan itu, mengimbas kembali nostalgia zaman dahulu apabila beribu-ribu kapal melalui dermaga bandar tersebut.

    “Pada masa dahulu, pembinaan kapal adalah suatu perkara yang penting di Macau.

    Semua orang mahu terlibat,” katanya. “Untuk menjadi pekerja limbungan harus belajar dan berlatih dalam masa yang lama iaitu selama tiga tahun dan mendapat kelulusan daripada pakar pertukangan.”

    Walau bagaimanapun, pada abad ke-21, perubahan kepada industri perikanan di Macau dan sekitarnya menyebabkan kemerosotan pembinaan kapal.

    Pada tahun 2006, kapal nelayan kayu terakhir telah dilancarkan di Coloane, dan sekali gus menandakan era tersebut telah berakhir.

    “Ketika itulah kami mula membuat model, ” kata Tam. “Saya mahu mengajar orang tempatan dan pelancong mengenai sejarah industri pembinaan kapal Macau dan betapa pentingnya perkara tersebut pada zaman dahulu.”

    Pada tahun 2000, setahun selepas Macau kembali kepada tanah besar China, Tam dan Lam bersama-sama membuat model dipanggil ‘The Return’ dan mengasaskan cawangan baharu persatuan itu di Coloane.

    Sejak itu mereka telah membuat model dan memenangi pelbagai peraduan di tanah besar dan juga di luar negara.

    Tam Wai Lat, berumur 50an, datang ke bengkel kecil di pinggir laut itu setiap Sabtu untuk belajar.

    Dia telah membuat tiga model dalam masa kurang dari dua tahun.

    “Semakin saya terlibat, semakin saya gemar melakukannya,” kata Tam.

    “Saya juga suka bercakap dengan Lam dan Tam tentang zaman pembinaan kapal lama dan anekdot dari tahun-tahun itu.”

    Lou Mung Naa, seorang pereka dalaman yang dilahirkan pada tahun 1980-an, adalah seorang lagi pengunjung tetap ke muzium itu.

    Hobi barunya sangat sesuai dengan pekerjaannya sendiri yang mana kedua-duanya teliti tentang ruang dan struktur.

    “Amatlah sayang jika pertukangan seperti itu hilang suatu hari nanti,” katanya. “Saya pasti sangat gembira untuk meneruskannya jika saya mampu.” – Xinhua

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...