Saturday, October 19, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang kaligrafi terima hadiah

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) telah meraikan para pemenang bagi Pertandingan Seni Khat bersempena Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam (BDIICF) 2024 pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

    Kira-kira 80 orang telah menyertai pertandingan berkenaan secara keseluruhannya yang telah dibukakan kepada para peserta yang berdaftar dengan BDIICF 2024 selama tiga hari.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada lima pemenang ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, juga selaku Pengerusi Lembaga Tadbir PPKKI-YSHHB.

    Pertandingan berkenaan telah menyaksikan Haji Mohammad Nazir bin Othman menerima hadiah di tempat pertama dengan wang tunai $800; diikuti dengan Awang Muhammad Riziman bin Haji Usin dengan wang tunai $600 di tempat kedua; dan Haji Muhammad Fajri bin Haji Idris mendapat hadiah wang tunai $400 bagi tempat ketiga.

    Sementara itu, Awang Sharil Azrin bin Sipri dan Awang Mohd Azizi bin Haji Mohd Jamil masing-masing menerima wang tunai $200.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan dan Pemangku Pengarah Urusan Yayasan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak yang juga selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Tadbir PPKKI-YSHHB; dan pegawai-pegawai kanan YSHHB.

    Selaras dengan hasrat penubuhan PPKKI-YSHHB bagi memartabatkan tulisan jawi melalui kaligrafi Islam, pusat tersebut terus mengendalikan pelbagai program dan aktiviti dalam bidang seni khat sepanjang tahun untuk disertai oleh orang ramai termasuk penganjuran pertandingan seumpama ini yang dihasratkan bagi memupuk minat serta mengasah bakat dan kemahiran orang ramai dalam seni khat.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan hadiah kepada Haji Mohammad Nazir. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama yang hadir selaku tatamu kehormat. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Para jemputan yang menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Haji Mohammad Nazir bin Othman pemenang pertama bagi pertandingan berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda