Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pemerdagangan manusia: Beri hukuman berat’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Negara Brunei Darussalam berada di tahap dua dalam senarai pemerdagangan manusia dengan kerajaan Negara Brunei Darussalam mengambil langkah signifikan ke arah menghapuskan kegiatan pemerdagangan manusia menurut Laporan Pemerdagangan Manusia 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, hari ini.

    Laporan itu mengambil maklum langkah-langkah positif yang diambil oleh Negara Brunei Darussalam dalam menangani masalah berkenaan termasuk menubuhkan sebuah pasukan antara agensi bagi menyiasat kes-kes berkemungkinan pemerdagangan manusia, menetapkan peruntukan ke arah pusat perlindungan mangsa pemerdagangan lelaki dan perempuan serta bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghasilkan contoh kontrak pekerjaan yang diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda pekerja berkenaan.

    Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga telah menghasilkan dan mengagihkan prosedur operasi standard (SOP) perlindungan dan pengenalpastian mangsa kepada semua pihak berkepentingan anti pemerdagangan manusia kerajaan.

    Selain itu, laporan berkenaan menyatakan lanjut bahawa masih terdapat ruang dan langkah yang dapat dilaksanakan bagi menangani masalah pemerdagangan manusia dan untuk tiga tahun berturut-turut Negara Brunei Darussalam berada di tahap dua senarai pemantauan (Tier 2 Watch List).

    Laporan itu turut memberikan cadangan bagi Negara Brunei Darussalam untuk terus meningkatkan lagi usaha dalam menyiasat, mendakwa dan menghukum mereka yang memperdagangkan buruh dan orang termasuk pihak yang bersubahat dengan melaksanakan hukuman yang berat.

    Laporan itu seterusnya menyatakan bahawa mereka yang memperdagangkan manusia mengeksploitasikan mangsa-mangsa mereka seperti pekerja warga asing yang di arah berkhidmat secara paksaan, pertukaran kontrak, tidak membayar gaji, penderaan fizikal atau merampas pasport mereka.

    Selain itu, laporan turut menegaskan bahawa walaupun menjadi satu kesalahan bagi majikan untuk menahan gaji pekerja mereka bagi tempoh lebih daripada tujuh hari, namun masih terdapat segelintir majikan yang menahan gaji untuk mendapatkan semula bayaran bagi pengambilan buruh atau yuran pengambilan kerja atau untuk memaksa pekerja berkenaan supaya terus bekerja.

    Di samping itu, laporan menyatakan bahawa menyimpan dokumen perjalanan pekerja warga asing oleh majikan atau agensi-agensi masih menjadi amalan yang banyak dilakukan walaupun undang-undang mengharamkan perbuatan berkenaan. Selain daripada itu, terdapat mereka yang memperdagangkan manusia khususnya yang mengeksploitasikan migran di Malaysia atau Indonesia bagi pemerdagangan manusia menggunakan Negara Brunei Darussalam sebagai transit bagi mangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda