Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pemerdagangan manusia punca kemasukan pelarian Rohingya

    JAKARTA, 8 DIS – Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini berkata kerajaannya mengesyaki rangkaian pemerdagangan manusia punca peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang tiba ke negaranya dengan menaiki bot.

    Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam berdepan penganiayaan di Myanmar termasuk tindakan keras pada 2017 dan ramai telah melarikan diri melintasi sempadan ke negara jiran Bangladesh.

    Dari sana, beribu-ribu orang mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dalam perjalanan laut yang berbahaya dan mahal untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia, yang jauhnya kira-kira 1,800 kilometer (1,120 batu).

    Bulan lalu menyaksikan peningkatan dalam ketibaan ke Aceh, wilayah paling barat di Indonesia, dengan lebih 1,000 pelarian Rohingya mendarat di sana dalam gelombang terbesar sejak 2015.

    “Terdapat syak wasangka yang kuat terhadap penglibatan rangkaian pemerdagangan manusia dalam kemasukan pelarian ini,” kata Widodo pada sidang media.

    Anggota polis mengawal penduduk kampung ketika pelarian Rohingya sedia untuk dipindahkan di Balohan, pulau Sabang, Aceh pada 4 Disember. – AFP

    Dia berikrar kerajaannya ‘akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku pemerdagangan manusia’.

    Ketibaan terbaru, sekumpulan 139 pelarian, termasuk wanita dan kanak-kanak, disambut dengan bantahan pada Rabu.

    Lebih 100 penduduk tempatan mengancam untuk menolak pelarian kembali ke laut, menyeru mereka agar dipindahkan.

    Widodo berkata kerajaannya akan memberikan bantuan sementara ‘dengan mengutamakan kepentingan masyarakat setempat’.

    Tiga penduduk tempatan ditahan kerana pemerdagangan manusia selepas mereka membantu 30 pelarian Rohingya meninggalkan kem di bandar Lhokseumawe, Aceh, menurut ketua polis Lhokseumawe, Henki Ismanto.

    Suspek telah menerima 300,000 rupiah Indonesia (AS$19.32) daripada setiap pelarian untuk membawa mereka ke lokasi lain di Pulau Sumatera.

    Kira-kira tiga warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh telah ditahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana membantu Rohingya melarikan diri ke tempat lain.

    Indonesia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian PBB dan berkata ia tidak dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar, tetapi negara jiran telah menutup pintu mereka, meninggalkan kumpulan minoriti itu hampir tiada pilihan lain. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...