Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Pemimpin kuat yang bijaksana dan strategik amat diperlukan bagi mengambil langkah-langkah yang bersesuaian untuk menangani pelbagai krisis dan terkini, inflasi global.
Tidak dapat dinafikan, COVID dan inflasi global tidak akan menjadi pandemik dan cabaran terakhir yang akan kita hadapi. Pastinya lebih banyak cabaran akan kita hadapi pada masa hadapan.
Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucaptama semasa Pelancaran Program Eksekutif Kepimpinan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE-LEP) yang berlangsung di Dewan Teater, MOFE, hari ini.
Pembangunan kepimpinan, tekan Yang Berhormat Dato, tidak akan berhenti dan kita memerlukan pemimpin yang akan terus menunjukkan fleksibiliti, kebolehsuaian dan daya tahan.
Dalam hubungan itu, jelas beliau, kita akan terus membangun dan menaikkan taraf kualiti kepimpinan supaya dapat mempersiapkan diri kita untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu serta ketidakpastian di hadapan kita.

Selain itu, Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) pada 2021 telah merumuskan rangka kerja kompetensi kepimpinan MOFE yang menggariskan tujuh keperluan kompetensi bagi pemimpin MOFE.
Kompetensi berkenaan adalah memimpin, perhatian kepada perincian, toleransi tekanan, proaktif, pemikiran strategik, membuat keputusan serta pelaksanaan dan pengurusan projek.
Di samping itu, tambah Yang Berhormat Dato, pelan pembangunan kapasiti dan Pelan Strategik 2021-2025 MOFE adalah selaras untuk membantu menyumbang ke arah kejayaan Wawasan Brunei 2035.
Beliau berkata bahawa terdapat empat aspirasi yang digariskan dalam Pelan Strategik 2021-2025 MOFE iaitu kepelbagaian dan pembangunan ekonomi, mengekalkan kemampanan fiskal menerusi penggunaan efisien kewangan awam, kolaborasi dan penglibatan pihak berkepentingan efektif serta penyampaian perkhidmatan cemerlang.
Dalam merealisasikan aspirasi berkenaan, beliau menekankan bahawa amat penting untuk mempunyai sokongan kuat daripada agensi-agensi kerajaan yang lain serta juga pihak-pihak berkepentingan relevan yang lain termasuk sektor swasta.
Mengulas mengenai Program MOFE-LEP, beliau menyatakan bahawa selain pegawai-pegawai daripada MOFE menyertai program berkenaan, ia juga disertai oleh pegawai-pegawai dari enam kementerian yang lain.
Di bawah program itu, ia akan merangkumi siri simposium kepimpinan dan bengkel latihan bagi Perancangan Strategik Projek-projek Sektor Awam, Program Lawatan Sambil Belajar ke Singapura dan Menterjemah Hasil Strategik kepada Keputusan serta Pembentangan Projek.
Ia dihasratkan untuk menangani keperluan kompetensi kepimpinan secara menyeluruh dengan memanfaatkan pendirian pembelajaran tindakan dan menumpukan kepada pembangunan kapasiti bagi pelaksanaan dan perancangan strategik selaras dengan sebahagian keperluan Rangka Kerja Kompetensi Kepimpinan MOFE.