Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin pembangkang Kemboja didenda AS$1.5 juta kerana fitnah

    PHNOM PENH, 25 JULAI – Mahkamah Kemboja hari ini telah mengenakan denda kira-kira AS$1.5 juta ke atas seorang pemimpin pembangkang kerana memfitnah parti pemerintah dengan mendakwa demokrasi telah merosot sejak anak bekas perdana menteri mengambil alih kuasa tahun lalu.

    Dalam satu temu bual pada Februari dengan media asing, pemimpin Parti Candlelight, Teav Vannol berkata negara itu ‘semakin merosot dari segi demokrasi’ di bawah pemerintahan Hun Manet.

    Hun Manet mengambil alih kuasa pada 2023 selepas bapanya, Hun Sen, meletak jawatan selepas hampir empat dekad memerintah secara kuku besi.

    Kemenangan besar Parti Rakyat Kemboja (CPP) dalam pilihan raya yang membolehkan Hun Manet menjadi perdana menteri telah dikritik secara meluas sebagai tidak adil selepas pencabar utama, Parti Candlelight, dihalang daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.

    Mahkamah Perbandaran Phnom Penh hari ini mendapati Vannol ‘bersalah kerana memfitnah’ dan mengarahkannya membayar enam bilion riel kepada pihak plaintif, iaitu CPP.

    Beliau juga diarahkan membayar 10 juta riel kepada kerajaan.

    Vannol berada di luar negara dan tidak hadir semasa keputusan dijatuhkan.

    Peguamnya, Choung Choungy berkata beliau kecewa dengan keputusan itu dan bahawa anak guamannya hanya ‘menyatakan pendapatnya’. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda