WASHINGTON – Konsep makanan bioteknologi bakal mula ditawarkan di beberapa buah kedai runcit dan antara produk pertama yang ditawarkan adalah merangkumi sos salad dan bijirin granola yang disediakan bersama dengan minyak soya di mana ia dipercayai dapat memberi khasiat yang baik kepada jantung.
Pada tahun depan, makanan pertama yang diasaskan dari tumbuhan atau binatang yang turut mengalami penambahbaikan pada DNA dijangka mula dijual.
Ia jelas berbeza berbanding teknologi yang banyak diadaptasi pada makanan yang menjalani ‘pengubahan genetik’ yang ada pada masa kini di mana ia menjanjikan peningkatan pada nutrisi, menggalakkan tumbesaran dan menjadikan daging, sayur-sayuran serta buah-buahan untuk bertahan pada kadar yang lebih lama.
Akademi Sains Kebangsaan AS juga telah mengisytiharkan bahawa penambahbaikan pada gen makanan merupakan langkah terbaik untuk meningkatkan mutu makanan khususnya bagi memastikan berbilion-bilion manusia akan tetap berupaya menikmati makanan walaupun berhadapan dengan cabaran perubahan iklim.
Namun sebelum ini pihak kerajaan juga tetap bergelut mengenai langkah untuk mengetengahkan jenis makanan tersebut terutama sebagai usaha untuk meyakinkannya kepada para pengguna.
“Jika pengguna dapat melihat keuntungannya, saya rasa mereka akan memilih produk itu tanpa perlu berasa bimbang akan teknologi penghasilannya,” jelas Dan Voytas, seorang Profesor dan Ketua Pegawai Sains di Calyxt Inc di Minnesota yang melakukan usaha penambahbaikan pada produk kacang soya bagi meningkatkan khasiatnya yang setentunya memberi manfaat kepada kesihatan.
Para penyelidik juga telah banyak melakukan kajian bagi meningkatkan perubahan seperti menghasilkan tepung gandum dengan kandungan serat tiga kali ganda lebih tinggi daripada biasa dan memiliki tahap gluten yang rendah.
Di samping itu, terdapat juga cendawan yang tidak mudah mengering, buah tomato yang segar, jagung yang berupaya untuk bertahan kepada kemarau dan beras yang tidak mudah tercemar kesan daripada pencemaran tanah.
Para saintis juga berharap penambah baikan gen dapat menyelamatkan beberapa spesies tanaman daripada terus diancam oleh jangkitan penyakit seperti ‘citrus greening’ yang mengancam hasil tanaman buah oren di Florida.
Langkah pertama yang mereka harus laksanakan adalah untuk mencari gen terbaik bagi memastikan tahap kesihatan sejenis tanaman itu akan tetap berdaya tahan.
“Jika kita berupaya untuk menambah baik sesuatu gen, menukar urutan DNA dan setentunya ia berpotensi untuk berhadapan dengan pelbagai ancaman kepada sesuatu penyakit itu,” jelas Fred Gmitter, seorang ahli genetik di Pusat Penyelidikan dan Pendidikan dari Universiti Florida Citrus ketika melakukan kajian terhadap penyakit pada tumbuh-tumbuhan di Kubu Meade.

Diubah atau ditambah baik
Para petani telah lama memanipulasi tanaman dan binatang ternakannya dengan hanya menekankan kepada aspek pembiakan silang dan selektif untuk mendapatkan hasil yang tertentu dan tersendiri.
Hakikatnya, proses pembiakan silang seperti tanaman tomato yang menjadikan spesiesnya menjadi bertambah besar berbanding biasa hanya akan menurunkan tahap kualitinya dan mengurangkan tahap nutrisinya.
GMO atau organisma yang mendapat penambahbaikan genetik adalah tumbuh-tumbuhan atau binatang yang memiliki gabungan DNA spesies lain untuk memperkenalkan ciri khusus sekali gus merujuknya sebagai ‘transgenic’.
Antaranya adalah seperti gabungan genetik di antara jagung dan kacang soya untuk membina kekebalan demi menentang serangga perosak atau anasir jahat yang lain.
Walaupun terdapat persetujuan saintifik antarabangsa yang menyatakan bahawa GMO adalah selamat untuk dimakan namun masih ramai individu yang kekal menyimpan rasa bimbang akan berhadapan dengan masalah keracunan makanan.
Kini, alat penambah baikan genetik dengan nama seperti CRISPR dan TALEN yang berjanji untuk mengubah struktur makanan secara lebih tepat dengan kadar yang lebih rendah tanpa memerlukan tambahan DNA asing.
Sebaliknya, ia bertindak sebagai pemotong molekular untuk mengubah struktur genetik dengan gaya tersendiri.
Menurut Profesor Nicholas Kalaitzandonakes dari Universiti Missouri menjelaskan bahawa teknologi ini secara tidak langsung dapat memasukkan DNA baharu namun kebanyakan produk dalam perkembangannya secara tidak langsung mematikan genetik.
Pasukan Voytas yang mengusahakan gen kacang soya, Calyxt juga telah menyahaktifkan dua genetik demi menghasilkan kacang soya yang tidak menghasilkan minyak yang tidak baik dan menjejaskan jantung pengguna sekali gus meningkatkan tahap kesihatan sebagaimana yang diamalkan oleh pengguna minyak zaitun tanpa memiliki rasa yang berbeza.
Di kala ramai penternak telah berusaha untuk membuang tanduk demi memastikan tahap keselamatan petani dan lembu-lembu lain kekal terjaga, ternyata Recombinetics Inc lebih memilih untuk menggabungkan DNA lembu Angus kepada lembu ternakan mereka untuk mengawal tahap pertumbuhan tanduknya.
“Pembiakan tepat ini tidak mungkin akan menggantikan pembiakan tradisi namun ia dapat menjadikannya lebih mudah untuk menambah satu lagi sifat,” jelas ahli genetik dari Universiti California, Alison Van Eenennam.
Peraturan yang tidak jelas
Jabatan Pertanian mengatakan bahawa peraturan tambahan memang tidak diperlukan bagi pembiakan tumbuh-tumbuhan yang boleh dikembangkan melalui teknik pembiakan tradisi.
Perkara itu jelas memperlihatkan perkembangan kepada berpuluh-puluh gen penambah baikan kepada berpuluh-puluh jenis tanaman yang ada setakat ini.
Sebaliknya, Pentadbiran Makanan dan Ubat telah mencadangkan sekatan yang lebih ketat terhadap tata cara penambah baikan gen dan pemberian ubat kepada binatang pada tahun 2017. Ia juga turut menjanjikan panduan khas dan tertentu menjelang tahun depan di mana ia dapat memperlihatkan langkah tepat berhubung mengenai cara pengurusannya.
“Ia juga disokong memandangkan perdagangan dan peraturan antarabangsa merupakan faktor penting dalam memastikan produk yang telah mengalami penambah baikan gen itu dapat dikomersialkan,” jelas Paul Spencer dari USDA kepada ahli ekonomi pertanian.
Mahkamah Tinggi di Eropah juga telah menggalakkan penjualan produk transgenik di Eropah sejak musim panas yang lalu dan menasihatkan agar GMO juga wajar untuk mengaplikasikan genetik penambahbaikan pada produk makanan.
Namun sewaktu Pertubuhan Perdagangan Sedunia yang diadakan bulan ini, AS juga telah menyertai 12 negara termasuk Australia, Kanada, Argentina dan Brazil dalam menggesa negara-negara lain untuk mengamalkan peraturan yang berasaskan sains pada pertanian berasaskan penambah baikan genetik.
Menilai tahap keselamatan
“Kebimbangan terbesar adalah sesuatu penambah baikan yang dilakukan secara tersasar, memberi perubahan yang tidak diperlukan kepada DNA sehingga boleh menjejaskan nilai nutrisi tumbuhan atau tahap kesihatan binatang,” jelas Jennifer Kuzma dari Pusat Kejuruteraan Genetik dan Masyarakat di Universiti Kebangsaan North Carolina.
Para saintis juga giat mencari jika ada sebarang wujudnya petanda masalah.
Antara ujian yang bakal dilakukan adalah kepada spesies lembu yang tidak bertanduk di kandang ternakan UC-Davis di mana hasil tenusu itu akan diuji bagi mencari perbezaan di antara lemak dan protein yang terkandung pada susu lembu biasa dengan yang telah menjalani penambah baikan genetik.
“Uji kaji yang dijalankan ini hanya untuk memastikan bahawa hasil tenusu yang diperolehi adalah selamat sebagaimana yang diperolehi pada khasiat daging lembu yang tidak bertanduk itu,” jelas Kuzma.
Bagi Kuzma, pihak syarikat harus peka mengenai bagaimana sesuatu produk makanan itu dihasilkan di samping turut memastikan kualiti keselamatannya akan terjamin.
Dia juga berharap agar pengawal selia untuk terus menjalankan penyelidikan secara lebih teliti.
“Kebanyakan tumbuhan dan haiwan yang telah mengalami penambah baikan genetik itu kelihatan agak selamat untuk dimakan,” jelas Kuzma.
Elak percanggahan
Ketidak pastian mengenai reaksi pengawalseliaan dan pengguna menjadikannya sebagai sesuatu yang aneh.
Industri pemakanan dan petani juga sering meminta pihak penyelidik dari universiti dan pengguna untuk membantu melakukan garis panduan bagi ‘penggunaan bertanggungjawab ‘ pada proses penambah baikan pada bekalan makanan yang dihasilkan.
“Jelas sekali gabungan ini wujud adalah berikutan daripada parut pertempuran dan perbahasan GMO dan tiada sebarang persoalan mengenai isu tersebut,” jelas Greg Jaffe dari Pusat Pengawas Keselamatan di Pusat Sains untuk Kepentingan Rakyat yang bersetuju untuk bergabung dengan Pusat Kumpulan Integriti Makanan.
“Setentunya terdapat persoalan dibangkitkan berhubung mengenai teknologi ini,” tambahnya.
Tahap kemapanan
Penambah baikan bukan dapat menyelesaikan sebarang permasalahan tegas Calyxt Voytas. Hakikatnya, terdapat batasan tertentu dalam pengubahan makanan dan setentunya para saintis telah menghasilkan tepung gandum yang memiliki gluten yang berkurangan dan tidak setentunya mencapai pada tanpa gluten secara penuh di mana ia penting untuk mengatasi masalah alergi.
Di samping itu, proses penambah baikan genetik itu juga belum pasti dapat menjana keuntungan pada pasaran pelbagai makanan yang dilakukan.
Walaupun berasa bimbang terhadap sesuatu peraturan yang dikenakan, Kuzma percaya sekitar 20 produk yang menjalani proses penambah baikan genetik bakal dipasarkan di AS dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan dia juga menekankan bahawa para saintis juga turut meneroka perubahan pada tanaman seperti ubi kayu yang penting bagi negara berpendapatan rendah.
“Kami rasa sudah tiba masanya untuk melakukan revolusi pada industri,” jelas Kuzma. – AP