Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penangguhan rentas sempadan dilanjutkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan pelanjutan penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan selama 16 hari bermula 16 hingga 31 Disember.

    Menurut siaran media JPM, di sini, hari ini, pelanjutan penangguhan kebenaran aktiviti rentas sempadan berkenaan adalah bagi kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Negara Brunei Darussalam, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    Kemasukan dan perjalanan transit melalui Negara Brunei Darussalam hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam, dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan, dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada.

    Prosedur kemasukan yang sedia ada adalah bagi tujuan atas urusan rasmi kerajaan; persekolahan; perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera); dan vaccinated transport operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi penghantaran bekalan import yang penting dan Keluar dan masuk negeri secara ulang alik melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

    Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dari semasa ke semasa.

    Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang JPM di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn.

    Penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan akan dilanjutkan bermula 16 hingga 31 Disember.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda