Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Penari maut selepas makan biskut salah label

    CONNECTICUT, 26 JAN – Seorang penari profesional berusia 25 tahun dari England yang berpindah ke New York City untuk meneruskan kerjayanya telah meninggal dunia selepas memakan biskut yang mengandungi kacang tanah yang salah label, sebahagian daripada kelompok yang sejak itu telah ditarik balik.

    Peruncit Stew Leonard’s mengumumkan pada Selasa lalu bahawa Vanilla Florentine Cookies yang dijual di kedai-kedainya di Danbury dan Newington di Connecticut dari 6 November hingga 31 Disember ditarik balik dengan kerjasama Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA). Syarikat itu berkata kira-kira 500 bungkusan kuih raya telah dijual.

    Individu yang meninggal dunia itu dikenal pasti sebagai Orla Baxendale, firma guaman yang mewakili kepentingannya mengumumkan kelmarin.

    “Minatnya yang mendalam terhadap tarian menjangkau melebihi satu disiplin sebagai seorang penari balet, kontemporari dan step dance Ireland yang hebat,” menurut obituari dalam talian untuk Baxendale, yang lahir di East Lancashire.

    Dia meninggal dunia pada 11 Januari selepas mengalami kejutan anafilaksis akibat tindak balas alahan yang teruk, menurut catatan di laman web firma guaman Gair, Gair, Conason, Rubinowitz, Bloom, Hershenhorn, Steigman & Mackauf.

    Biskut tersebut mengandungi kacang tanah sebagai bahan yang tidak disenaraikan dan Baxendale memakannya semasa perhimpunan sosial di Connecticut, kata pegawai kesihatan dan perlindungan pengguna negeri. Kelmarin, pihak berkuasa mengeluarkan satu lagi amaran mengatakan biskut yang sama juga mengandungi telur, yang juga tidak disenaraikan pada label dan boleh menyebabkan tindak balas alahan bagi sesetengah orang.

    Biskut itu dihasilkan oleh pemborong Cookies United yang berpangkalan di Long Island dan dilabelkan dengan nama jenama Stew Leonard, menurut pegawai negeri. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...