Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencuri tegar dihukum penjara, sebat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun 11 bulan serta dua kali sebatan oleh Mahkamah Majistret pada hari ini selepas mengaku bersalah atas rentetan pertuduhan mencuri dan kesalahan yang berkaitan.

    Mahkamah juga mengambil kira hakikat Norhamdani Shukardi bin Haji Abdul Hamid mempunyai banyak rekod sabitan terdahulu berkaitan kesalahan yang dilakukan terhadap harta benda semasa menjatuhkan hukuman ke atasnya.

    Pendakwa Syafina Abdul Hadzid dan Hajah Siti Mu’izzah Haji Sabli mendedahkan di mahkamah defendan telah mencuri sebuah basikal dan dua pasang kasut bola sepak dari sebuah rumah di Kampung Tanjong Bunut pada pukul 3:03 pagi, 26 Jun.

    Antara 8 hingga 9 Julai, defendan mencuri mesin angle grinder, gergaji rantai, pemancut air dan bateri kereta dari sebuah rumah di Kampung Sungai Taring, Lumut.

    Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid selanjutnya mendengar daripada pihak pendakwaan bahawa defendan memasuki sebuah rumah di Kampung Tanjong Bunut pada pukul 5:50 pagi pada 13 Julai dan melarikan sebuah kereta. Pada 21 Julai dia merosakkan kereta itu dengan memandu ke dalam longkang di Jalan Ban 3, kawasan Kampung Sungai Tampoi.

    Antara 14 Julai dan 16 Julai, defendan telah mencuri seekor burung bersama sangkarnya dari sebuah kediaman di Jalan Pantai Lumut.

    Setelah itu, defendan pergi ke sebuah rumah di Kampung Padang, Sungai Liang antara 19 Julai dan 20 Julai dengan mencuri pelbagai barangan termasuk sebuah kereta yang turut dirosakkannya.

    Pada 23 Julai, pukul 2 pagi defendan telah mencuri tiga gas silinder dan dua buah basikal dari sebuah rumah di Kampung Kilanas.

    Selain itu dia jua turut mencuri pemancut air, enam bateri kereta, beg gim yang mengandungi baju sukan, seluar dan kasut daripada tempat penyimpanan barang di kawasan rumah tersebut.

    Pada hari berikutnya, defendan mengulangi perbuatannya dengan mencuri barang-barangan dari sebuah rumah di Jalan Tanjong Bunut Kanan, Kampung Selayun, Sengkurong.

    Sementara itu antara 23 dan 24 Julai, defendan telah mencuri sebuah kereta dari sebuah kediaman di Kampung Kilanas.

    Pihak pendakwaan seterusnya mendedahkan bahawa defendan telah mencuri sebuah kenderaan dan wang tunai $245 dari sebuah rumah di Kampung Jangsak antara 27 dan 28 Julai.

    Dia kemudian menukar nombor plat kenderaan yang dicuri itu.

    Defendan sekali lagi mencuri dari kawasan simpanan sebuah kediaman di Jalan Beribi, Kampung Beribi antara 29 dan 30 Julai dengan membawa lari sebuah gergaji, mesin perata dan tiga bilah parang.

    Defendan yang terakhirnya telah mencuri sepasang kasut, beg tangan berisi wang tunai $700, beg bagasi berisi dokumen bank dan komputer riba dari sebuah rumah di Jalan Sengkurong B pada pukul 2:08 pagi, 5 Disember lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda