Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Pendidikan sains kemasyarakatan lestari ketamadunan bangsa

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan KUPU SB

    Sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam menyumbang pembangunan dan melestari ketamadunan bangsa sesebuah negara dengan mengambil kira kepentingan aspek mental dan fizikal serta aspek rohani dan spiritual.

    Dalam hal ini, pendidikan sains kemasyarakatan tidak ketinggalan dalam menyumbang dan membangunkan negara melalui pemahaman sejarah dan asal usul bangsa dalam membentuk ketamadunan negara.

    Perkara berkenaan dibentangkan semasa Seminar Antarabangsa Pendidikan dan Sains Sosial 2022 anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bertempat di Dewan Tarbiah, kolej berkenaan baru-baru ini.

    Seminar tersebut merupakan anjuran bersama Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan dan Fakulti Pendidikan, KUPU SB. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, yang turut menyempurnakan perasmian pembukaan seminar dan pelancaran Nadi Al-Qawi Al-Amin, Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan KUPU SB.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, Seminar Antarabangsa Pendidikan dan Sains Sosial kali pertama ini, yang bertemakan ‘Pendidikan Sains Sosial dan Kemasyarakatan Pemangkin Kesejahteraan Ummah’, boleh disifatkan sebagai penting dan relevan dalam memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat terhadap dimensi gugusan sains kemasyarakatan merangkumi aspek sejarah, peradaban dan ketamadunan, sosiologi, antropologi, ekologi, linguistik, pendidikan dan lain-lain.

    Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz menyampaikan ucapan semasa seminar tersebut.
    Dr Haji Adanan membincangkan mengenai realiti dan cabaran pendidikan sains sosial dalam sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam.

    Tambahnya, seminar ini juga penting sebagai wadah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kewujudan gugusan sains kemasyarakatan dan kepentingannya dalam aspek keguruan Islam. Penekanan kepada Islamisasi ilmu dalam bidang sains kemasyarakatan berasaskan Maqasid Syariah, sebagaimana di maklumi, menurutnya adalah lebih signifikan untuk menangani isu kemasyarakatan global dan setempat, selaras dengan tradisi perkembangan ilmu dalam tamadun Islam.

    Jelas Yang Berhormat Pehin, adalah perlu bagi setiap individu dan pemikir Islam untuk bersikap kritis dalam memahami erti apologetic dan accommodative hasil daripada kesedaran intelek yang rasional kerana pemikiran dan pemahaman biasanya dipengaruhi oleh emosi dan pegangan yang diambil daripada selain manhaj Islam. Tegasnya kita jangan lupa, dalam pendidikan, ada dua persimpangan yang mesti dan perlu difahami dan dikenali iaitu persimpangan pendidikan Islam dan persimpangan pendidikan Barat.

    “Di sana ada empat konsep pendidikan menurut perspektif Barat, iaitu bermula dari sekular, liberal, pragmatis dan materialis. Dalam makna, pendidikan dalam peradaban Barat itu adalah meminggirkan sama sekali kepercayaan agama. Berbanding konsep pendidikan Islam ia dibangun atas wahyu dan kepercayaan agama,” tegasnya.

    Dari sudut pendidikan, pendidikan Islam, tegasnya adalah jelas sangat unggul dari lain-lain pendidikan kerana dasar pendidikan Islam itu adalah mencakup tarbiah, taklim dan ta’dib. Tarbiah, berasal dari tiga kata iaitu rabba yarbuu ertinya bertambah atau bertumbuh, rabaa yarbaa ertinya jadi besar, dan rabba yarubbu ertinya memperbaiki, menuntun, menjaga dan memelihara.

    “Jadi dari tiga asal kata ini, pendidikan atau tarbiah itu dapatlah disimpulkan sebagai mempunyai empat unsur iaitu untuk memelihara fitrah pertumbuhan kanak-kanak menjelang baligh; untuk mengembang besarkan seluruh potensi yang sifatnya adalah pelbagai; untuk membawa anak didik menuju kebaikan dan kesempurnaan yang selayaknya; dan proses ini dilaksanakan secara bertahap,” jelasnya.

    Kemudian taklim, merupakan bahagian dari tarbiah yang tujuannya untuk memperoleh pengetahuan dan keahlian berfikir. Sementara ta’dib, ialah kegiatan pendidikan, sehingga semua ilmu yang dihasilkan oleh akal manusia disebut ia adab atau peradaban di mana seorang pendidik layak ia digelar muaddib.

    “Demikian pendidikan Islam itu merupakan proses tranformasi ilmu pengetahuan kepada anak didik untuk menjadi insan kamil, caranya, pendidik tidak boleh, tidak mesti dibangun atas wahyu dan kepercayaan agama, bukan seperti pendidikan Barat yang didakwa sebagai bebas nilai, tetapi hakikatnya bukan benar bebas nilai, melainkan yang sebenarnya hanya bebas dari nilai-nilai ketuhanan dan agama, yang makanya pendidikan Barat itu dinamakan ia sekuler, memisahkan ilmu dari agama.

    “Berbeza dengan pendidikan Islam, membangun manusia, jelasnya adalah dengan wahyu dan agama yang dimulakan dari awal-awal lagi, sebagaimana petunjuk hadits riwayat Al-Hakim yang bermaksud, “Mulakanlah (mengajar) anak-anak kamu dengan Laa Ilaaha Illalah sebagai perkataan pertama.”

    Ini, tegasnya bertepatan dengan syariat azan dan iqamah terhadap kanak-kanak yang baru lahir.

    “Inilah pendidikan awal Islam. Mana ada satu pendidikan lain yang serupa dengan pendidikan cara Islam ini,” tegasnya.

    Intelektual Muslim

    Seminar berkenaan juga membentangkan empat kertas kerja iaitu dalam pembentangan kertas utama pertama bertajuk Muslim Intellectuals in Southern Asia and the Future of the Ummah, oleh Profesor Dr Khairudin Al-Junied dari Universiti Brunei Darussalam yang membincangkan mengenai perkembangan intelektual Islam yang berlaku khususnya pada pertengahan era 20an yang digelar sebagai era Networked Islam.

    Munculnya ilmuan-ilmuan Islam menyumbang kepada pembentukan pemikiran Islam di serantau. mereka membantu membenteras kesan-kesan pengaruh daripada ideologi lain termasuk sekularisme.

    Dalam ceramahnya, beliau memaparkan kerjaya intelektualisme Muslim di Asia Tenggara bermula dengan abad ke-16 dengan tumpuan khusus pada pertengahan abad ke-20 dan seterusnya pada satu tempoh yang kini boleh dianggap sebagai zaman Islam berangkaian. Beliau berpendapat bahawa beberapa gelombang intelektual telah sangat berpengaruh dalam membentuk tekstur pemikiran Muslim dirantau ini. Walaupun berbeza dari segi pengkhususan, mereka berusaha untuk mengatasi dan menengahi sekularisme, kemodenan dan ideologi lain.

    Sistem pendidikan negara

    Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dalam pembentangan kertas utama kedua membincangkan mengenai realiti dan cabaran pendidikan sains sosial dalam sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam.

    Beliau menjelaskan bahawa pendidikan sains kemasyarakatan berperanan dalam membentuk dan membangun negara melalui pemahaman sejarah dan asal usul bangsa serta seterusnya membentuk ketamadunan negara. Perkara tersebut menurutnya selari dengan hasrat sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN 21) yang merupakan sistem pendidikan bersifat holistik.

    Pengetahuan Islam dalam sosial sains

    Profesor Dr Haji Mohd Dahlan bin Haji Abdul Malek dari Universiti Malaysia Sabah selaku pembentang kertas utama ketiga apabila menerangkan mengenai Islamization of Knowledge in Social Sciences menjelaskan bahawa majoriti cendekiawan Islam sangat mengambil perhatian terhadap konsep Islamisasi ilmu pengetahuan khususnya pada era tahun 80an disebabkan oleh kesedaran global berkenaan menghidupkan ilmu-ilmu Islam pada era tahun 70an.

    Beberapa frasa digunakan untuk menginterpretasikan konsep tersebut termasuk Islamization of Knowledge dan Islamization of Contemporary or Present Day Knowledge. Namun begitu, menurut Profesor Dr Haji Mohd Dahlan, penggunaan frasa Islamization of Knowledge adalah tidak sesuai kerana ianya memberi bayangan bahawa semua ilmu termasuk ilmu tradisi Islam yang dipelopor oleh ilmuan Islam terdahulu berdasarkan Al-Quran dan sunnah adalah belum islamik dan perlu di Islamkan.

    Peranan sosial sains Islam di abad 21

    Pembentangan kertas keempat oleh Dr Zahid Parvez dari Markfield Institute of Higher Education, United Kingdom menyentuh mengenai The role of Islamic Social Sciences in the 21st Century: Global Perspectives on Education and Consequences.

    Menurut beliau, para pendidik perlu memikirkan dan memberi pertimbangan terhadap tiga perkara dalam membentuk pendidikan berpaksikan ajaran agama Islam iaitu pertama, objektif pendidikan dan pembangunan sosial yang perlu dicapai (bentuk masyarakat yang diharapkan), kedua, mengenal pasti pengetahuan dan kemahiran semasa yang diperlukan termasuk nilai-nilai dan adab.

    Yang ketiga, pengurusan pendidikan yang efektif, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang baharu bagi menyalurkan kemahiran-kemahiran akademik yang bersesuaian seiring dengan keperluan masyarakat dan negara. Ketiga-tiga perkara di atas akan membantu membentuk perspektif dan pendekatan yang terkini.

    Resolusi seminar

    Di penghujung seminar berkenaan, kertas kerja resolusi dibentangkan oleh Profesor Madya Dr Muhd Zahiri bin Awang Mat, pengerusi bersama seminar. Antara perkara yang dihuraikan termasuk proses Islamisasi ilmu dalam ketamadunan, kepercayaan dan nilai, pengurusan sumber, pembangunan komuniti, pendidikan, ekologi, dan untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh keluarga, masyarakat dan negara dalam persekitaran sosial yang lebih mampan dan dinamik dan sebagainya.

    Semasa seminar berkenaan telah dihadiri seramai 250 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan serta guru-guru dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Pusat Sejarah Brunei, Pusat Dakwah Islamiah, Arkib Negara dan mahasiswa serta mahasiswi institusi-institusi pengajian tinggi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...