Monday, October 7, 2024
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk India bunuh serigala buruan

    INDIA, 6 OKT – Penduduk kampung di India telah membunuh seekor serigala dipercayai yang terakhir daripada kumpulan enam ekor yang telah membunuh sembilan orang, lapan daripadanya kanak-kanak, kata pegawai hidupan liar, hari ini.

    Serigala kelabu itu telah mencetuskan histeria dalam kalangan penduduk di daerah Bahraich di negeri utara Uttar Pradesh, di mana haiwan itu dikatakan telah menyerang lebih 40 orang.

    Sementara itu, lebih 150 anggota bersenjata dan berpuluh-puluh pegawai perhutanan kerajaan India telah dikerahkan untuk menangkap serigala itu bulan lalu.

    Lima daripada haiwan itu terperangkap, dengan dron dan kamera pengawasan menunjukkan hanya seekor yang masih bebas.

    Pegawai hutan kerajaan India, Ajit Singh, berkata penduduk kampung telah menghubungi pasukannya hari ini selepas mereka membunuh seekor serigala yang berkeliaran.

    “Kami dimaklumkan tentang haiwan mati di kampung itu, dan apabila sampai di tempat kejadian, kami menemui seekor serigala dengan tanda-tanda kecederaan fizikal yang jelas,” kata Singh kepada AFP.

    “Nampaknya ia adalah sebahagian daripada kumpulan serigala yang sama,” kata Singh.
    Siasatan lanjut diperlukan untuk mengesahkan tiada lagi serigala yang masih hidup di kawasan itu, katanya. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda