Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Penerima pertama Skim Biasiswa UTB

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Dayang Rohadatul’ Aisy Nabilah binti Irwan melakarkan sejarah yang tersendiri bagi dirinya apabila menjadi penerima pertama Skim Biasiswa Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Beliau merupakan graduan cemerlang yang lulus dengan Kepujian Kelas Pertama bagi Sarjana Muda Perniagaan dalam Pengurusan Teknologi serta merupakan penerima Anugerah Canselor, iaitu yang pertama diberikan kepada graduan institusi pengajian tinggi bagi kecemerlangannya dalam sumbangan, pencapaian dan tingkah laku ilmiah semasa di UTB.

    Sebagai penerima skim berkenaan, beliau akan melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dan diraikan dalam Majlis Penandatanganan Skim Biasiswa UTB yang berlangsung di Bangunan Pearl, Fasa 2, UTB, hari ini.

    Hadir untuk menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Dalam kata alu-aluannya, Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua menjelaskan bahawa Skim Biasiswa UTB dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang, mempamerkan perwatakan dan sahsiah yang baik, menunjukkan potensi sebagai seorang pemimpin, mempunyai semangat untuk melakukan perubahan serta mampu komited untuk berkhidmat sebagai pemimpin masa depan.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah menyampaikan dokumen perjanjian kepada Dayang Rohadatul’ Aisy Nabilah pada Majlis Penandatanganan Skim Biasiswa UTB yang berlangsung di Bangunan Pearl, Fasa 2, UTB, kelmarin.

    Ia merupakan skim untuk melanjutkan pengajian PhD dan bagi pusingan pertama skim berkenaan, dua orang calon telah berjaya terpilih setelah melalui proses pemilihan yang ketat untuk memastikan calon-calon terpilih adalah yang terbaik dan sesuai untuk menyertainya di mana penerima akan menggantikan kakitangan akademik yang akan keluar dari universiti berkenaan.

    Beliau menyatakan bahawa Dayang Rohadatul’ Aisy Nabilah merupakan penerima pertama bagi skim berkenaan dan akan melanjutkan pengajian PhD dalam Inovasi dan Keusahawanan di Loughborough University, United Kingdom bagi tempoh tiga tahun bermula 7 Oktober 2022.

    Sementara itu, calon kedua, jelasnya, masih menunggu kelulusan Skim Biasiswa UTB dari Kementerian Pendidikan tertakluk kepada menerima tawaran pengajian PhD daripada top 250 QS World University Ranking atau Times Higher Education World University Ranking atau Academic Ranking of World Universities.

    Apabila menamatkan pengajiannya nanti, Dayang Rohadatul’ Aisy Nabilah akan berkhidmat sebagai seorang pensyarah bagi Sekolah Perniagaan UTB.

    Majlis kemudian menyaksikan penandatanganan perjanjian antara Dayang Rohadatul’ Aisy Nabilah dengan saksi iaitu ayahnya, Awang Irwan bin Haji Lois dan Penolong Naib Canselor (Akademik), Dr Hajah Ena Kartina binti Haji Abdul Rahman dengan saksi, Lim Chui Hua.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayang Rohadatul’ Aisy Nabilah menyatakan perasaan syukur dan menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang PhD serta meneruskan penyelidikan dalam mengenal pasti jurang pendigitalan di Brunei dan bagaimana untuk mengurangkan jurang berkenaan.

    Oleh itu, bidang pengajian inovasi dan keusahawanan, baginya memberikan peluang untuk mengkaji mengenai usahawan tempatan yang meneroka bidang keusahawanan digital seperti usahawan yang menghasilkan aplikasi atau produk-produk digital canggih.

    Beliau percaya bahawa kajian yang dilaksanakannya itu, bukan sahaja akan memberi manfaat baginya tetapi ia juga dapat digunakan untuk manfaat Brunei terutamanya bagi membangunkan lagi budaya usahawan digital tempatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...