Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Pengalaman gangguan misteri insafkan Mawi

    Penyanyi, pelakon dan pengarah, Mawi mendedahkan pernah mengalami gangguan penyakit misteri sehingga terpaksa menyepikan diri daripada industri hiburan.

    Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 41, berkata gangguan yang hampir meragut nyawanya itu disifatkan sebagai pengalaman menginsafkan.

    “Sebelum ini, saya pernah senyap sekejap antara dua hingga tiga tahun, kira-kira sedekad lalu. Saya tidak menyanyi, mahupun berlakon selepas diserang gangguan membuatkan saya tidak sedarkan diri selama 15 minit, seolah-olah ‘mati’.

    “Bila sedar semula, saya nampak isteri sudah meraung menangis sambil mengelap darah yang berlumuran. Berada di sisi saya, isteri, Ekin, Ain dan bapa saudara.

    “Mereka bertiga sahaja yang berada bersama saya di hospital ketika itu.

    Mawi berkongsi kisah alami gangguan yang hampir meragut nyawa yang disifatkan sebagai pengalaman menginsafkan. – Agensi

    “Namun, saya tak ingat apa-apa ketika sedar. Apa yang saya ingat, nampak Ekin sedang mengelap dan mencuci darah yang keluar dari mulut saya.

    “Sememangnya Ekin nampak semua yang berlaku kepada saya. Saya mengalami muntah darah, yang mana darah keluar seperti ‘lava’,” katanya kepada BH Online.

    Ulas lanjut, Mawi mengakui, dia hampir membuat keputusan berhenti daripada dunia hiburan.

    “Saya fobia selepas apa yang terjadi. Ekin juga meminta saya berhenti menyanyi dan keluar industri.

    “Saya berfikir juga, tetapi saya suka menyanyi, berlakon, hasilkan filem dan sebagainya.

    “Allah sudah letak dalam industri seni, jadi saya buat yang terbaik dan tawakal.

    “Selepas insiden itu, saya suka menulis skrip dan mengarah. Ketika itu, datang tawaran mengarah. Sejak itu, saya lebih ghairah dalam dunia pengarahan,” katanya.

    Kata Mawi, dia tidak pernah menuduh mana-mana pihak atau menyifatkan kejadian itu sebagai sihir mahupun santau, namun tetap menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati terhadap ilmu hitam dan alam ghaib.

    “Saya tak tahu dan tak pernah menuduh. Jujurnya, saya bersyukur Allah beri saya rasa semua ini kerana ia benar-benar menginsafkan saya.

    “Kalau bercakap soal sihir, rasa bukan saya sahaja, tetapi semua orang kena berhati-hati.
    “Tetapi, saya tak pernah cakap sihir, santau atau sebagainya.

    “Saya tak boleh cakap sebegitu. Kita kena reda sebab kalau Allah tidak izinkan, tak jadi juga.

    “Jadi, saya kena fikir kenapa Allah izinkan? Sihir ini wujud, jadi kenalah sentiasa beringat.

    Selain solat sunat dan baca Al-Quran, amalkan zikir seperti Asmaul Husna, Allah ada 99 nama.

    “Satu hari sebut satu nama Allah berulang-ulang pun sudah memadai,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...