Thursday, April 24, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman pemangkin semangat Letshanaa

    KUALA LUMPUR, 23 APRIL – Pemain perseorangan wanita Malaysia, K Letshanaa tampil pada saingan Piala Sudirman 2025 dengan tahap keyakinan lebih tinggi berbanding pada edisi lepas.

    Pemain di ranking ke-52 dunia itu berkata pengalaman pada edisi 2023 di Suzhaou, China yang menyaksikan beliau mendapat pujian serta nasihat daripada pemain Korea Selatan An Se Young serta sokongan rakan sepasukan menyuntik semangatnya untuk memberikan yang terbaik pada kejohanan kali ini di Xiamen, China.

    “Sudah tentu (lebih yakin). Ini adalah penyertaan kali kedua saya di Piala Sudirman dan ia tidak sama seperti yang terdahulu. Saya telah bersama rakan sepasukan sejak sekian lama dan hubungan akrab ini adalah sesuatu yang positif untuk saya,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pusat Piala Sudirman 2025 di Kuala Lumpur, semalam.

    Jika dipilih untuk diturunkan, Letshanaa tekad tidak akan mensia-siakan peluang diberikan dan ia menjadi pembakar semangat buat dirinya.

    “Perkara utama adalah untuk kekal bermotivasi dan tidak rasa gementar atau takut. Selagi saya memberikan yang terbaik, itu adalah untuk Malaysia dan juga pasukan,” katanya.

    Selain Letshanaa, turut disenaraikan bagi kategori perseorangan wanita ialah bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei.

    Pada edisi 2023, pemain kelahiran Selangor itu menyumbang satu mata buat skuad Malaysia apabila menewaskan Tiffany Ho dari Australia 21-19, 21-12 dan tewas kepada Se Young 10-21, 13-21 pada saingan separuh akhir.

    Sementara itu, pemain beregu campuran Hoo Pang Ron berkata beliau kini memberikan tumpuan kepada mempelbagaikan corak permainan serta kemantapan mental bersama gandingannya Cheng Su Yin menjelang kejohanan dwitahunan itu.

    Selepas muncul naib juara Masters China 2024 pada Disember lepas, prestasi gandingan Pang Ron-Su Yin tidak konsisten dan hanya mara ke suku akhir sebanyak dua kali dalam tujuh kejohanan tahun ini. – Bernama

    Letshanaa tekad tidak akan mensia-siakan peluang diberikan dan ia menjadi pembakar semangat buat dirinya. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda