Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penglibatan operasi kompleks dapat tingkat tahap profesionalisme anggota ABDB

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Pemodenan Pendidikan Tentera Profesional Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan penubuhan Fakulti Pengajian Tentera di Akademi Pertahanan melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan membawa kepada pengembangan lebih berkesan, efisien dan sentiasa relevan dengan peredaran masa.

    “Manakala, Fakulti Pengajian Tentera itu pula akan mendukung hasrat negara ke arah pembelajaran sepanjang hayat dengan menghasilkan pegawai-pegawai ABDB yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi menepati antara matlamat Wawasan Brunei 2035.

    “Namun pada hemat Beta, pendidikan tinggi sahaja belumlah memadai. Tetapi ABDB juga perlu mendedahkan anggotanya kepada penglibatan dalam operasi-operasi yang kompleks seperti operasi bersepadu dengan agensi-agensi keselamatan Negara Brunei Darussalam, operasi bantuan kemanusiaan dan pemulihan bencana (HADR) seperti Operasi Badai Taduh yang belum lama ini disertai di Republik Filipina dan Independent Decommissioning Body, Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) di Republik Filipina serta misi operasi bantuan keamanan, Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah sempena Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-23, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad, Akademi Pertahanan ABDB (AP ABDB), Kampung Tanah Jambu, hari ini.

    “Beta mahu penglibatan seperti ini dipertingkatkan, supaya ABDB dapat terus meningkatkan tahap profesionalisme dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara, di samping turut memberikan sumbangan bernilai kepada negara luar dan antarabangsa.”

    Terdahulu Baginda Sultan bertitah menzahirkan perasaan bangga kerana Sekolah Pegawai Kadet secara keseluruhannya telah berjaya melahirkan seramai 862 pegawai tentera yang berwibawa terdiri daripada 859 pegawai kadet tempatan, dua pegawai dari Malaysia dan seorang pegawai kadet dari Republik Singapura.

    Baginda menekankan pencapaian yang membanggakan itu menjadi bukti jelas Sekolah Pegawai Kadet telah mencapai taraf yang tinggi sehingga turut diiktiraf oleh negara-negara sahabat.

    “Penyertaan baharu dari Republik Indonesia dan Kerajaan Thailand pula bagi pengambilan ke-24 nanti akan menaikkan lagi profil Sekolah Pegawai Kadet selaku Pusat Kecemerlangan Latihan Pegawai Kadet.

    “Syabas Beta ucapkan kepada Sekolah Pegawai Kadet ABDB.”

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah sempena Upacara Sovereign’s Parade. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan memeriksa Pasukan Perbarisan. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda