Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penubuhan Faculty of Military Studies iktiraf pendidikan profesional ketenteraan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 FEB – Penubuhan Faculty of Military Studies oleh Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB) dengan kolaborasi Universiti Brunei Darussalam (UBD) merupakan langkah positif dan salah satu inisiatif untuk mendapatkan pengiktirafan pendidikan professional military education dan adaptasi pembelajaran sepanjang hayat.

    “Fakulti ini membuka ruang bagi pegawai-pegawai ABDB untuk mengikuti program Bachelor in Defence and Security Studies yang diperoleh bermula dari peringkat kursus pegawai kadet sehingga ke peringkat Kursus Staf Pertengahan dan seterusnya Master Degree in Defence and Security Studies di peringkat Maktab Turus ABDB.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah memperkenankan rancangan Akademi Pertahanan bagi penubuhan Faculty of Military Studies semasa Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-22, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad AP ABDB, Kampung Tanah Jambu, hari ini.

    “Beta menaruh keyakinan segala bentuk perancangan dan usaha baik ini, Insya-Allah akan tercapai dengan dukungan serta kerjasama kukuh daripada semua pihak yang berkenaan.”

    Terdahulu Baginda Sultan dalam titah Baginda, menzahirkan perasaan gembira dan bangga dengan perkembangan positif Sekolah Pegawai Kadet sejak penubuhannya 15 tahun yang lalu di mana untuk julung kalinya telah menerima penyertaan bersejarah dua orang pegawai kadet dari Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Tentera Republik Singapura.

    “Beta juga gembira mengambil maklum bahawa sehingga kini, Sekolah Pegawai Kadet telah pun berjaya melahirkan seramai 804 orang pegawai tentera yang bertauliah.

    “Sesungguhnya pencapaian yang signifikan ini adalah bukti jelas meningkatnya kredibiliti dan kematangan Sekolah Pegawai Kadet sehingga turut disambut baik oleh negara-negara sahabat,” titah Baginda.

    Sebagai satu-satunya institusi pendidikan dan latihan pegawai-pegawai tentera di Negara Brunei Darussalam, Baginda Sultan menekankan adalah amat mustahak bagi Akademi Pertahanan untuk mengekalkan peranan utamanya selaku organisasi yang menjana perkembangan profesionalisme pegawai-pegawai ABDB melalui Dasar Professional Military Education Manual 2023, yang telah diterbitkan baru-baru ini.

    “Beta yakin Akademi Pertahanan mampu untuk membantu ABDB merangka pelan pendidikan dan latihan sebagai langkah memelihara pimpinan dan mempunyai ilmu akademik ketenteraan yang tinggi yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja di samping memperkasa nilai-nilai teras ABDB yang memartabatkan identiti keBruneian.”

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-22, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad AP ABDB, Kampung Tanah Jambu, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda