Sunday, June 16, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Penulis tanah air terima anugerah berprestij

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan DBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Seorang lagi penulis tanah air, Pengiran Haji Shamsu bin Pengiran Haji Kadar diangkat dan diiktiraf untuk menerima anugerah berprestij, iaitu Anugerah Penulis Asia Tenggara (The SEA Write Award).

    Panel Penilai Anugerah Negara Brunei Darussalam telah sepakat memilih Kumpulan Sajak Cintaku di Ufuk Timur yang sekali gus mengangkat penulisnya, Pengiran Haji Shamsu dengan nama pena Pengiran Haji Shamsu Pengiran Haji Kadar, dicalonkan sebagai penerima anugerah berkenaan bagi Negara Brunei Darussalam tahun 2022.

    Sehubungan itu, Majlis Mengagai (Kunjungan) calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi 2022 diadakan kelmarin di kediaman calon penerima di Kampung Selayun, Sengkurong B.

    Rombongan mengagai diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit; pegawai-pegawai kanan DBP, Panel Penilai Anugerah Penulis Asia Tenggara dan Urus Setia Unit Pengiktirafan.

    Dr Siti Norkhalbi semasa menyerahkan sijil tahniah kepada Pengiran Haji Shamsu.
    Gambar ramai Dr Siti Norkhalbi bersama penulis dan para pegawai DBP serta panel penilai anugerah tersebut.

    Majlis berkenaan merupakan penghargaan dan pemakluman awal mengenai pengiktirafan Pengiran Haji Shamsu sebagai calon penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, 2022.

    DBP, KKBS melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan bertanggungjawab selaku Urus Setia Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, setiap tokoh penerima anugerah yang dipilih oleh panel penilai di negara masing-masing, dinilai berdasarkan hasil karya yang telah terbit mengikut genre yang ditetapkan oleh pihak penganjur di Bangkok, Thailand.

    Pengiran Haji Shamsu mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1960an dengan menguasai beberapa genre seperti puisi, esei dan kritikan sastera.

    Antara karya perseorangan beliau ialah Sajak-sajak Adi Kelana: Satu Analisa Skruktur (2002); Syair Sekilas Pandang (2013); Kumpulan Puisi Ombak Menghempas Pantai (2013); Kumpulan Pantun Nostalgiaku Abadi, Pantunku Dipantuni (2016); Kumpulan Puisi Gurindam 32 (2017) dan Kumpulan Sajak Cintaku di Ufuk Timur (2021).

    Anugerah Penulis Asia Tenggara sebagai penganugerahan peringkat serantau mencerminkan satu penghormatan yang cukup tinggi dan bermakna buat penulis-penulis Asia Tenggara termasuklah penulis tanah air.

    Ia sekali gus menjadi platform dalam mengangkat karya-karya berkualiti dan seterusnya, memperkenalkan penulis tanah air dan karya mereka ke peringkat serantau, malah antarabangsa.

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India bawa pulang jasad 45 mangsa kebakaran di Kuwait

    KOCHI, 14 JUN - Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran di sebuah bangunan di Kuwait kelihatan berduka di terminal lapangan terbang India hari...