Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyanyi Aishiteru terima royalti tinggi

    Penyanyi Indonesia, Zul Zivilia tidak menyangka menerima bayaran royalti tinggi meskipun kini sedang menjalani hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.

    Memetik laporan mStar, menurut Zul, kutipan yang diterima tahun ini jauh berbeza berbanding pendapatannya sebelum ini.

    Dia mendedahkan mendapat kira-kira RM1,500 daripada Wahana Muzik Indonesia (Wami) iaitu badan yang menguruskan pembayaran royalti artis di sana.

    “Sebelum ini saya hanya menerima bayaran RM200, tetapi jumlahnya sekarang menjadi lebih besar.

    “Mungkin selepas saya masuk penjara lagu-lagu menjadi tular dan bayaran royalti juga meningkat,” katanya.

    Zul ditemui media ketika tampil membuat persembahan di Indonesian Prison Products and Arts Festival 2025.

    Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Ashiteru itu, bayaran tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga termasuk persekolahan anak-anak.

    “Bayaran dari label pun ada juga dan lebih banyak. Sekiranya tiada royalti mungkin susah. Bayaran ini dapat bayar sekolah anak,” ujarnya.

    Untuk rekod Zul dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun sejak 2019 atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu dan pil ekstasi. – Agensi

    Zul dibenarkan aktif dalam dunia seni meski sedang jalani hukuman penjara. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda