Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyertaan menghafaz Al-Quran semakin meningkat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Penyertaan bagi kategori menghafaz 30 juz Al-Quran terus meningkat di mana pada tahun 2009 hanya tiga penyertaan sahaja yang tampil untuk mengikuti kategori menghafaz 30 juz ini, berbanding sekarang.
     
    “Ini menunjukkan orang-orang kitani menyedari betapa pentingnya Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari sebagai teman dan bekalan di akhirat kelak.”
     
    Perkara ini dikongsikan oleh Pemangku Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Pelaksana Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah pada Majlis Penyampaian Cenderamata kepada Peserta dan Sijil kepada Hakim Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan yang turut menyampaikan cenderamata kepada peserta-peserta dan sijil kepada hakim-hakim Musabaqah.
     
    Awang Mohammad Ali Sabri seterusnya menambah, pada tahun ini seramai 336 orang calon telah mendaftar untuk mengikuti musabaqah ini iaitu 62 orang peserta bagi Kategori A, 52 orang bagi Kategori B, 126 orang bagi Kategori C, 64 orang bagi Kategori D dan 32 orang bagi Kategori E.
     
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan sijil dan cenderahati kepada salah para peserta. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Ini merupakan satu peningkatan yang boleh dibanggakan, jelasnya, di mana peningkatan ini semakin ketara dari setahun ke setahun di mana penyertaan pada tahun 2023 hanya seramai 284 orang, iaitu seramai 39 orang bagi Kategori A, 49 orang bagi Kategori B, 77 orang Kategori C, 60 orang Kategori D dan 21 orang bagi Kategori E. 
     
    Manakala tahun 2024 seramai 309 orang, iaitu 62 orang bagi kategori A, 58 orang bagi Kategori B, 110 orang Kategori C, 51 orang bagi Kategori D dan 28 orang bagi Kategori E.
     
    Selain mengongsikan antara tujuan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah adalah untuk menyemai dan memupuk rasa mencintai Al-Quran di kalangan Muslimin terutama kepada para pelajar di peringkat rendah dan menengah, para belia, remaja, pegawai dan kakitangan di sektor kerajaan dan swasta mahupun persendirian melalui amalan menghafaz dan memahami isi kandungan Al-Quran. 
     
    “Ia adalah salah satu wawasan perdana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berterusan melalui agensi kerajaan berkenaan ke arah menambah permata Al-Hafiz dan Al-Hafizah Al-Quran di Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.
     
    Katanya lagi, “Musabaqah ini juga sebagai menyahut seruan Allah SWT yang menjanjikan ganjaran pahala dan keberkatan berlipat ganda atas usaha dan komitmen kita semua dalam memuliakan dan memartabatkan kitab suci Al-Quran.”
     
    Majlis diteruskan dengan musabaqah bagi Kategori E memperdengarkan hafazan peserta. 
     
    Lima orang peserta terdiri daripada tiga orang peserta lelaki dan dua orang peserta perempuan bertanding dalam kategori ini.
     
    Pada tahun ini, seramai 25 orang peserta telah memperdengarkan hafazan masing-masing, dan daripada jumlah tersebut, penyertaan yang menggalakkan adalah daripada peserta wanita iaitu seramai 16 orang. 
     
    Musabaqah dibahagikan kepada lima kategori, setiap kategori menampilkan lima orang peserta.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda