Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Peranan, perkembangan AITI sokong kemajuan ICT

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Dalam era transformasi digital, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memainkan peranan penting sebagai pemangkin utama untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Di Negara Brunei Darussalam, kedudukan dan landskap sektor ICT yang terkini mendapati sektor ICT menyumbang $478.3 juta atau 4.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor bukan minyak dan gas bagi tahun 2022 mengikut laporan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Manakala setakat Julai tahun ini, terdapat 472 buah perniagaan ICT yang terbahagi kepada 463 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sembilan perusahaan besar.

    “Aktiviti industri ICT utama adalah penjualan komputer, aksesori, perisian dan peralatan telekomunikasi secara runcit dan borong, penyelenggaraan, konsultasi komputer dan perkhidmatan pengurusan fasiliti komputer, merangkumi 48 peratus daripada perniagaan ICT,” kongsi Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar semasa menyampaikan taklimat pengenalan AITI semasa lawatan kerja daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke pejabat AITI, Kampung Anggerek Desa, baru-baru ini.

    Seramai 5,665 orang pekerja di bawah sektor ICT. Di samping itu, seramai 3,874 orang pekerja yang berkelulusan ICT yang bekerja di sektor ICT dan bukan ICT.

    Ahli MMN bergambar ramai bersama Ir Haji Jailani semasa lawatan ke AITI. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Ir Haji Jailani ketika menyampaikan sesi taklimat pengenalan AITI kepada ahli-ahli MMN. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara ahli MMN mendengar penerangan lanjut semasa menyaksikan pameran dan meninjau lebih dekat lagi inisiatif-inisiatif AITI. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    PERANAN AITI SEIRING PERKEMBANGAN DUNIA ICT

    Terdahulu, Ir Haji Jailani menjelaskan peranan AITI, sebagai sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1 Januari lalu melalui Perintah AITI 2001 dan tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 penubuhannya.

    Dalam menjalankan peranan sebagai pengawal selia, AITI bertanggungjawab sebagai pihak berkuasa undang-undang Perintah Telekomunikasi 2001 dan peraturan berkaitan dengannya.

    Tambahnya, bermula dari 14 Mac lalu, peranan AITI telah berkembang dengan penyerapan fungsi pengawalseliaan sektor pos melalui penggubalan Perintah Perkhidmatan Pos, 2023.

    Dalam masa terdekat nanti, Ir Haji Jailani menyatakan portfolio AITI akan bertambah dengan merangkumi bidang perlindungan data peribadi. Terdapat keperluan bagi pengawalseliaan dalam perkara ini agar keselamatan pengguna dan orang ramai terjamin.

    Menyentuh dari segi tenaga kerja, AITI kini mempunyai 134 orang pegawai dan kakitangan, yang mana 116 orang merupakan kakitangan tetap dan selebihnya adalah perantis dan pelajar penempatan sementara.

    Beliau juga berkongsi bahawa sejak penubuhannya, perbelanjaan operasi AITI adalah menggunakan hasil kutipan daripada lesen-lesen yang dikenakan kepada syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

    “Bermula dari tahun 2015, AITI telah memindahkan lebihan kutipan hasil tahunan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Dengan pemindahan kutipan hasil tersebut, AITI merupakan penyumbang terbesar kepada hasil pendapatan kerajaan daripada kalangan badan-badan berkanun,” jelasnya.

    TERUS PASTIKAN AKSES RANGAIAN BERKELAJUAN TINGGI

    Di samping itu, dari segi akses kepada kemudahan dan perkhidmatan digital, Negara Brunei Darussalam juga telah mencapai tahap kemajuan yang tinggi.

    “AITI bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan rangkaian Internet berkelajuan tinggi boleh diakses melalui rangkaian Fibre-to-the-Home (FTTH) dan teknologi mudah alih terkini dengan liputan yang meluas di seluruh negara.

    Liputan rangkaian telefon bimbit kini telah mencecah 99.3 peratus daripada keseluruhan penduduk, manakala liputan perkhidmatan jalur lebar FTTH telah menjangkaui 94.4 peratus,” ujar beliau.

    Seterusnya, jumlah pengguna telefon bimbit yang kini berada pada kadar yang tinggi sebanyak 123 peratus. Manakala bagi jumlah pengguna FTTH sebanyak 88 peratus daripada jumlah perumahan.

    “Pengkomersilan perkhidmatan 5G pada Jun tahun ini menandakan satu pencapaian penting dalam transformasi digital negara, sekali gus membuka peluang untuk aplikasi masa depan seperti virtual reality (VR), augmented reality (AR) dan Internet of Things (IoT) yang akan merevolusikan pelbagai industri seperti pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan pertanian,” tambahnya.

    “Justeru itu, Negara Brunei Darussalam telah mencapai kedudukan kedua dalam kalangan negara ASEAN dalam ITU ICT Price Basket 2022 yang menunjukkan tarif atau harga langganan perkhidmatan telekomunikasi adalah mampu milik,” kongsinya lagi,

    MEREALISASIKAN VISI NEGARA

    AITI akan terus memberikan tumpuan kepada perkembangan industri digital yang mampan dan memastikan hak para pengguna adalah terpelihara dengan berpaksikan kepada Pelan Strategik AITI bagi tahun 2020 hingga 2025. Fokus utama adalah untuk melaksanakan beberapa usaha ke arah menyokong Pelan Induk Ekonomi Digital, objektif-objektif strategik Kementerian Pengangkutan dan Info- Komunikasi serta transformasi digital negara secara amnya.

    “AITI telah menetapkan visinya untuk merealisasikan Negara Pintar Terhubung dengan matlamat untuk mencapai tiga hasil strategik, iaitu industri digital yang berkembang maju, negara yang terhubung dan masyarakat yang diperkaya secara digital.

    “Usaha adalah tertumpu ke arah melaksanakan strategi-strategi meliputi memudah cara pembangunan industri dan inovasi digital, membolehkan infrastruktur digital dan penyediaan persekitaran kawal selia yang kondusif dan memperkasa perniagaan dan masyarakat dengan keupayaan digital. Usaha ini juga turut di sokong oleh strategic enabler, iaitu memupuk kecemerlangan organisasi melalui modal insan, proses dan teknologinya,” ujar beliau.

    PENCAPAIAN TERUS MENGALIR

    Dalam pada itu, peranan ICT sebagai satu pemangkin pembangunan ekonomi dalam era digital masa kini, AITI telah mengungkayahkan beberapa program dan inisiatif yang bertujuan untuk mengembangkan industri ICT dan juga melengkapkan tenaga kerja ICT dengan yang berkemahiran industri.

    Di antara usaha yang dijalankan adalah menggalakkan pertumbuhan digital startup dan aplikasi digital tempatan, khususnya dalam bidang data analytic, IoT dan artificial intelligence (AI). Beberapa program perintis telah diungkayahkan seperti Smartfarm Testbed di lima buah ladang di Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku dan Smart Aquafarm di ladang ternak udang galah di Sungai Jambu Tungku.

    Begitu juga usaha ke arah meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan PMKS, melalui Skim PENJANA atau Productivity and Efficiency Joint-Funding for Digital Adoption. PENJANA merupakan satu skim pembiayaan berbentuk cost-sharing bagi membantu PMKS mengguna pakai ICT seperti sistem Point of Sales (PoS), e-Commerce dan e-Payment.

    Selain itu, Tech Clinic juga telah ditubuhkan untuk membolehkan PMKS mendapatkan perkhidmatan nasihat berkaitan teknologi digital mengikut keperluan masing-masing.

    Begitu juga, dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, AITI telah memperkenalkan beberapa program pembangunan kapasiti dan kursus latihan pensijilan profesional ICT bagi warga tempatan seperti Program Digital Upskilling, Program Coding.bn, Brunei ICT Industry Competency Framework (BIICF), dan Program Latihan Kemahiran Celik ICT dan Digital for All.

    FOKUS UTAMA DALAM PERANCANGAN

    Dalam kesempatan itu, Ir Haji Jailani turut menekankan pihak AITI akan terus memberikan tumpuan kepada beberapa perkara yang dijangka menjadi keperluan industri dan orang ramai dalam mengharungi gelombang teknologi pada masa kini dan masa akan datang.

    Antara fokus AITI pada tahun hadapan ialah meneruskan peningkatan kesalinghubungan digital dan kualiti perkhidmatan, meningkatkan perlindungan pengguna dan keberkesanan kaedah pengawalseliaan di sektor info komunikasi dan meneruskan usaha berkaitan penggalakan penerapan teknologi digital dalam kalangan perusahaan dan orang ramai serta meningkatkan kesedaran orang ramai dalam hal ehwal digital.

    Di samping itu juga, beberapa program baharu telah dilaksanakan untuk memperkasakan anak-anak tempatan dan penjanaan tenaga kerja ICT mengikut keperluan industri seperti Program TechInspire dan Program Overseas Digital Apprenticeship.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...