Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbicaraan tuntutan saman Putera Harry terhadap tabloid British bermula

    LONDON, 21 JAN – Perbicaraan tuntutan saman yang dinanti-nantikan oleh Putera Harry terhadap penerbit tabloid British yang mendakwa ia menjalankan pengumpulan maklumat secara tidak sah akan bermula hari ini, selepas bertahun-tahun pertikaian undang-undang di mana puluhan pihak menuntut lain telah menyelesaikan kes mereka.

    Putera Harry, anak bongsu Raja Charles III, mendakwa penyiasat persendirian yang bekerja untuk dua tabloid yang dimiliki oleh News Group Newspapers (NGN) milik Rupert Murdoch, telah menyasarkan dirinya secara tidak sah lebih daripada sedekad yang lalu.

    Ini adalah salah satu daripada beberapa saman yang telah dikemukakan oleh putera berusia 40 tahun itu terhadap penerbit surat khabar UK, dengan putera itu memenangi kes pegintipan telefon terhadap Mirror Group Newspapers (MGN) setahun lalu.

    Tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap NGN tidak merangkumi dakwaan pengintipan telefon, selepas Hakim Timothy Fancourt sebelum ini memutuskan bahawa Putera Harry telah kehabisan masa undang-undang untuk meneruskan dakwaan tersebut.

    Satu-satunya pemohon lain yang tinggal dalam kes ini adalah Tom Watson, bekas timbalan ketua parti Buruh yang kini bersidang di Dewan Pertuanan.

    Kedua-dua mereka mendakwa The Sun dan News of the World yang kini ditutup telah menggunakan teknik pengumpulan berita yang tidak sah untuk menerbitkan cerita mengenai mereka lebih daripada satu dekad yang lalu, dan eksekutif NGN secara sengaja menyembunyikan amalan tersebut dengan memadamkan emel.

    Watson juga mendakwa telefonnya telah digodam antara 2009 dan 2011, ketika beliau menyiasat tabloid Murdoch sebagai ahli Parlimen dalam sebuah jawatankuasa pengawas. – AFP

    Putera Harry meninggalkan Mahkamah Tinggi selepas memberikan keterangan di London. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda