Thursday, April 24, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perdana Menteri Singapura berdepan ujian pertama PRU25

    SINGAPURA, 23 APRIL – Kempen pilihan raya Singapura secara rasmi bermula hari ini, dengan Perdana Menteri, Lawrence Wong berdepan ujian besar pertamanya di tengah-tengah rasa tidak puas hati rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup dan kebangkitan semula parti pembangkang.

    Pilihan raya pada 3 Mei ini juga berlangsung ketika negara kota yang kaya itu berdepan ekonomi global yang bergolak akibat tarif Amerika Syarikat (AS).

    Bersama penyokong mereka, calon-calon berpotensi berkumpul di sembilan pusat pencalonan di seluruh pulau untuk menghantar dokumen bagi bertanding dalam pilihan raya tersebut.

    Wong – yang mengambil alih jawatan pada tahun 2024 selepas menggantikan Lee Hsien Loong, anak kepada pengasas negara Lee Kuan Yew – berkata, “banyak perkara yang menjadi pertaruhan dalam pilihan raya ini.”

    “Kita berada dalam dunia yang telah berubah dengan pergolakan di sekeliling kita,” katanya. “Undian awda akan menentukan masa depan awda dan masa depan anak-anak awda.”

    Selama lebih setengah abad, Singapura telah didominasi oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang dijangka terus mengekalkan kuasa.

    Namun, pencapaian pembangkang diperhatikan dengan teliti sebagai satu bentuk referendum terhadap tahap sokongan rakyat kepada kerajaan.

    Parti pembangkang utama, Parti Pekerja (WP), telah menampilkan senarai calon berkarisma untuk bertanding, termasuk bekas diplomat dan bekas peguam di bank pusat. – AFP

    Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong (tengah), menyapa para penyokong selepas penamaan calonnya menjelang pilihan raya umum di Singapura, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda