AMERIKA SYARIKAT, 4 DIS – Perhimpunan Agung PBB kelmarin menyeru Israel untuk menarik diri dari wilayah Palestin yang diduduki dan mendesak penubuhan sebuah negara Palestin, dengan mengadakan persidangan antarabangsa pada bulan Jun untuk mencuba memulakan penyelesaian dua negara.
Dalam satu resolusi yang diluluskan dengan undian 157-8, dengan Amerika Syarikat dan Israel antara negara yang mengundi tidak setuju, dan tujuh negara berkecuali, Perhimpunan itu menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi, mengikut undang-undang antarabangsa, untuk penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
Perhimpunan itu berkata, kedua-dua negara tersebut harus hidup berdampingan dalam keamanan dan keselamatan dalam sempadan yang diiktiraf, berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967.
Perhimpunan itu telah menyeru diadakan pertemuan antarabangsa di New York pada Jun 2025, yang akan dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, untuk memberi nafas baharu kepada usaha diplomatik bagi merealisasikan penyelesaian dua negara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggap Tebing Barat, Jerusalem Timur dan Semenanjung Gaza sebagai wilayah yang diduduki secara haram oleh Israel.
Israel menduduki Semenanjung Gaza pada tahun 1967 dan mengekalkan tentera serta penempatan di sana sehingga tahun 2005. Walaupun Israel telah menarik diri, ia masih dianggap sebagai kuasa yang menduduki wilayah tersebut.
Menyentuh mengenai keputusan terkini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, perhimpunan itu menyeru Israel untuk menamatkan kehadiran haramnya di Wilayah Palestin yang diduduki, secepat mungkin dan menghentikan semua aktiviti penempatan baharu. – AFP