Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Perihal sembahyang duduk

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Satu

    Berdiri dengan betul iaitu berdiri dengan menegakkan atau meluruskan sendi dan tulang belakang adalah antara rukun dalam sembahyang fardhu.

    Hukum menyempurnakannya adalah wajib bagi orang yang mampu berdiri, bahkan kegagalan melaksanakannya dengan sempurna boleh menyebabkan sembahyang seseorang itu batal kerana rukun adalah sebahagian daripada sembahyang.

    Sementara itu, diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk atau berbaring walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri.

    Walau bagaimanapun, pahala bagi orang yang mampu untuk berdiri jika dia mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan berdiri dan pahala orang yang mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan berbaring adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan duduk. Oleh itu, mengerjakan sembahyang sunat dengan berdiri adalah afdhal (lebih utama).

    Hukum sembahyang fardhu dengan duduk

    Orang yang tidak mampu mengerjakan sembahyang fardhu dengan berdiri hendaklah dia mengerjakannya dengan cara duduk.

    Orang yang tidak mampu mengerjakan sembahyang fardhu dengan berdiri hendaklah dia mengerjakannya dengan cara duduk. – Agensi

    Manakala jika dia tidak mampu berdiri dan duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (dengan rusuk mengiring).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Sembahyang yang dikerjakan dengan cara duduk atau berbaring tidak lagi perlu diulang apabila seseorang itu telah mampu berdiri setelah hilang keuzuran.

    Mengenai pahala pula, pahala seseorang yang sembahyang fardhu dengan cara duduk atau berbaring disebabkan keuzuran tidak akan berkurang, bahkan sama sahaja pahalanya seperti pahala sembahyang yang dikerjakan dengan berdiri.

    Sebab-sebab yang mengharuskan sembahyang fardhu dikerjakan dengan cara duduk

    Seorang mukallaf harus mengerjakan sembahyang dengan cara duduk atau berbaring jika dia tidak mampu berdiri.

    Menurut Imam ar-Rafi’i Rahimahullah, yang dimaksudkan dengan ‘tidak mampu’ itu bukan setakat hilang keupayaan untuk berdiri, bahkan juga disebabkan takut akan berlaku kerosakan atau kemudaratan ke atas diri, takut tenggelam atau pening apabila berdiri di atas perahu, takut akan menambahkan lagi kesakitan, takut air kencing terus mengalir keluar jika berdiri dan tidak mungkin menahan hadats kecuali dengan duduk, atau dinasihati oleh doktor yang dipercayai jika dengan duduk atau menelentang akan dapat membantu sakitnya sembuh.

    Selain itu diharuskan juga sembahyang dengan cara duduk jika seseorang mengalami masyaqqah (kesukaran) yang bersangatan sehingga boleh mengganggu dan menghilangkan khusyu’ dalam sembahyang.

    Cara duduk yang afdhal

    Tidak ditentukan cara dan keadaan duduk bagi orang yang tidak mampu untuk berdiri dan ingin menunaikan sembahyang dengan cara duduk.

    Bahkan adalah memadai dengan kesemua cara dan keadaan duduk sebagai ganti perbuatan berdiri.

    Walau bagaimanapun, duduk dalam keadaan iftirasy (seperti duduk tahiyyat awal) adalah afdhal untuk dilakukan berbanding dengan duduk tarabbu’ (bersila) dan duduk yang lain.

    Ini kerana duduk iftirasy adalah cara yang disyari‘atkan di dalam sembahyang, maka ia adalah lebih awla (lebih utama).

    Demikian juga duduk dalam keadaan iftirasy adalah afdhal berbanding dengan duduk tawarruk (seperti duduk tahiyyat akhir), kerana duduk iftirasy merupakan duduk yang tidak diikuti selepasnya oleh salam.

    Sementara itu, makruh hukumnya duduk dalam keadaan iq’a (bertinggung) kerana duduk tersebut menyerupai anjing dan monyet.

    Cara ruku’, i’tidal dan sujud bagi sembahyang duduk

    Apabila seorang mukallaf tidak mampu untuk berdiri dan dia mengerjakan sembahyang fardhu dengan cara duduk, maka cara ruku’, i’tidal dan sujudnya adalah seperti berikut:

    1- Ruku’
    Ruku’ sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut.

    Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

    2- I’tidal
    I’tidal ialah kembali kepada keadaan sebelum ruku’ iaitu duduk dengan betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan duduk betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.

    3- Sujud
    Cara sujud bagi orang yang sembahyang duduk sama sahaja seperti sujud biasa.
    Tetapi jika dia tidak mampu untuk sujud seperti biasa iaitu meletakkan dahi ke lantai, maka perlu dilihat kepada dua keadaan berikut:

    Pertama: Jika dia mampu untuk melakukan sekurang-kurang ruku’ atau ruku’ yang paling sempurna ketika dalam keadaan duduk akan tetapi tidak melebihi daripada kadar demikian, maka lakukan kadar yang termampu itu sekali untuk ruku’ dan sekali lagi untuk sujud sekalipun kadar perbuatannya itu sama.

    Kedua: Jika dia mampu untuk melakukan kadar yang melebihi daripada kadar ruku’ yang sempurna, maka wajib dia ruku‘ dengan tidak melebihi kadar sempurna ruku’ itu. Sementara sujud pula dilakukan dengan kadar yang melebihi ruku’ yang sempurna itu bagi membezakan antara sujud dan ruku’.

    Sementara itu, jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga untuk melakukan ruku’ dan sujud seperti yang dijelaskan di atas, maka dia hendaklah melakukan ruku’ dan sujud tersebut dalam keadaan duduk itu secara isyarat. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    “Dan jika aku memerintahkan kamu untuk mengerjakan sesuatu, maka kerjakanlah ia dengan apa yang kamu terdaya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Cara melakukan isyarat itu adalah dengan kepala. Jika dia tidak terdaya melakukan isyarat dengan kepala, maka hendaklah dengan mata. Jika tidak terdaya juga, maka hendaklah dengan hati.

    Tidak pula disyari‘atkan untuk meletakkan kerusi atau selainnya seperti meja sebagai tempat untuk sujud di atasnya jika seorang itu tidak mampu tunduk dan membongkok untuk melakukan sujud seperti biasa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...