Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Perintah darurat di New Caledonia ditarik balik

    PARIS, 27 MEI – Perancis menarik balik perintah darurat di wilayah jajahan seberang lautnya, New Caledonia selepas 12 hari, umum pejabat Presiden Emmanuel Macron di Paris hari ini.

    Langkah itu, yang diperkenalkan pada 15 Mei di tengah-tengah pergolakan di wilayah seberang laut Pasifik Selatan itu tidak akan dilanjutkan dan akan berakhir pada Selasa, pukul 5 pagi waktu tempatan (1800 GMT Isnin), media Perancis memetik Istana Elysée sebagai berkata, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Media Perancis melaporkan bahawa kerajaan Perancis berharap langkah itu akan membantu dialog.

    Namun, mereka juga menyatakan bahawa prasyarat untuk rundingan konkrit adalah supaya sekatan jalan yang didirikan oleh penunjuk perasaan dibuka.

    Paris juga mengumumkan penempatan 480 pegawai polis tambahan, menjadikan jumlah pasukan keselamatan Perancis di New Caledonia kepada 3,500 orang.

    Walaupun keadaan telah banyak reda, lapangan terbang di ibu negara Nouméa, yang ditutup sejak 14 Mei, akan terus ditutup kepada semua penerbangan komersial sehingga sekurang-kurangnya 2 Jun.

    Macron terbang ke negeri kepulauan di Pasifik Selatan itu minggu lepas untuk lawatan singkat bagi membincangkan penyelesaian dengan pihak politik dan meredakan krisis berkenaan.

    Protes prokemerdekaan, yang mengorbankan tujuh orang dan ratusan ditahan, dicetuskan oleh pindaan perlembagaan yang dirancang oleh Paris.

    Ia akan memberikan ribuan penduduk kelahiran Perancis di kepulauan itu hak untuk mengundi dalam pilihan raya wilayah dan memberi mereka lebih banyak pengaruh politik.

    Kumpulan etnik Orang Asli khususnya Kanak yang merupakan penduduk asal telah lama berharap untuk negara mereka sendiri dan kini bimbang mereka akan mengalami kerugian.

    Dalam tiga referendum pada 2018, 2020 dan 2021, penduduk bekas jajahan Perancis itu mengundi untuk kekal sebagai sebahagian daripada Perancis.

    Namun, sejak undian terakhir yang diboikot oleh golongan pemisah, rundingan mengenai status baharu telah terhenti.

    New Caledonia secara sejarahnya penting kepada Perancis dalam terma ketenteraan dan geopolitik, serta kerana simpanan nikel yang besar di sana. – Bernama

    Orang ramai mengawal sekatan jalan raya, dengan bendera Kanak, mengawal akses ke sebuah daerah di Noumea, wilayah Pasifik Perancis di New Caledonia, pada 24 Mei 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...