Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peristiwa Israk dan Mikraj dijadikan iktibar

    PERISTIWA Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan. Israk Mikraj turut membuktikan ke-hebatan dan kekuasaan Allah SWT. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

    Ketika diisrakkan pada malam itu, Rasulullah SAW terlebih dahulu menjalani pembedahan dada yang dilakukan Malaikat Jibril dengan mengeluarkan segala kotoran, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was, diisi dengan iman dan hikmah, kemudian dibersihkan hati Baginda dengan air zam-zam dan dicantumkan semula.

    Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq. Ketika perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil.

    Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat. Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.

    Setibanya Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Rasulullah SAW mengerjakan solat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman kepada Baginda. Lantas Baginda memilih susu.

    Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain. – Gambar hiasan

    Jibril berkata: “Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan tersesatlah engkau dan umat engkau.”

    Dalam peristiwa Mikraj pula, Baginda naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

    Beberapa tanda kebesaran diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika Israk, antaranya ialah Baginda melihat orang yang sedang memotong padi dan selepas tiap potongan, pokok padi itu tumbuh lagi dan demikian seterusnya tanpa henti.

    Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah gerangan itu?” Jibril menjawab: “Itulah contohnya umatmu yang suka bersedekah, maka harta yang di-sedekahkah itu tidak hilang bahkan kian bertambah di sisi Tuhan yang diterima oleh umatmu yang rajin beramal di kemudian hari dengan berlipat ganda.”

    Rasulullah SAW turut melihat orang yang memukul kepala dengan besi. Selepas pecah kepala, ia bercantum semula. Kemudian, dipukul lagi dan pecah semula, begitulah seterusnya berulang kali.

    Selepas Rasulullah SAW bertanya, Jibril pun menjawab: “Inilah orang yang malas dan enggan me-ngerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud kepada Allah maka di kemudian hari, dia akan merasakan sendiri kemalasannya itu.”

    Ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ke tujuh itu.

    Di tempat mulia itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk Baginda dan umatnya, iaitu mengerjakan solat. Nabi mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril.

    Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi Musa AS, akhirnya Baginda mendapat keringanan Allah SWT untuk mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi 50 ganjaran pahala. Rasulullah SAW bersabda:

    “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku 50 solat, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan solat itu yang sudah pun dikurangkan hingga tinggal lima sahaja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Solat fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap 50 (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari)

    Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain.

    Selepas perintah solat itu, Nabi kembali turun ke langit dunia seterusnya ke Baitulmaqdis dengan menunggang Buraq dan pulang pada malam yang sama ke Mekah sebelum waktu Subuh. Kecepatan Buraq membolehkan Rasulullah SAW pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

    Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah SAW bersabda:

    “Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi.” Baginda SAW bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitulmaqdis.”

    Begitulah perjalanan dari Mekah ke Palestin, kemudian naik ke langit dan lebih tinggi dari itu sebelum menerima perintah solat.

    Diikuti pula pertemuan dengan Rasul terutama bersoal jawab dengan Nabi Musa AS, menyaksikan keanehan Sidratul-Muntaha, melihat keindahan syurga. Dalam ‘pengembaraan luar biasa’ itu, Rasulullah SAW menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia kerana melakukan kemungkaran di dunia dan sebagainya, terus kembali ke alam dunia hingga ke Mekah dengan perjalanan yang singkat.

    Peristiwa ini berlaku ketika Nabi berada di puncak kesedihan yang memerlukan sokongan dalaman. Tahun itu dikenali sebagai ‘Aam al Huzni’ (tahun berduka cita).

    Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad SAW menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat Baginda kasihi iaitu wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib.

    Sesungguhnya, mukjizat Israk dan Mikraj memperlihatkan kekuasaan Allah SWT. Segala peristiwa tercatat seharusnya lebih menguatkan keimanan dan keyakinan manusia terhadap Allah SWT.

    Peristiwa ini membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat dan pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa Israk Mikraj ialah seluruh umat Islam bertanggungjawab membebaskan dan memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa yang menjadi lambang kebesaran serta tempat suci bagi umat Islam daripada cengkaman Yahudi. Justeru, mereka perlu berkorban menerbitkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.

    5 pengajaran penting dalam perjalanan agung, Israk Mikraj

    Israk Mikraj adalah sebuah peristiwa yang terkandung sejuta keajaiban dan kebesaran Allah SWT yang tidak terjangkau pada pemikiran manusia biasa. Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperoleh pelbagai pengajaran berharga yang dapat dijadikan iktibar dan mengukuhkan lagi ketaqwaan sebagai hamba Allah SWT.

    Alangkah ruginya kita jika tidak dapat mengambil pengajaran dari peristiwa Israk dan Mikraj ini, antaranya ialah;

    1. Kesedihan dunia, pengubatnya Allah SWT

    Setiap kesedihan dan kesusahan akan Allah berikan pertolongan dan hilangkan dukacita manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi telah dilanda dengan pelbagai ujian dan musibah seperti kematian isteri Baginda dan bapa saudara Baginda.

    Bahkan Baginda dicemuh dengan hebat dalam usaha dakwah contohnya di Thaif. Baginda telah dituju dengan batuan dan dakwahnya langsung tidak diterima oleh penduduknya. Tahun itu adalah tahun dukacita bagi Rasulullah SAW. Tidak lama kemudian, Allah perintahkan agar berlakunya Israk Mikraj sebagai pengubat dan hadiah kepada Baginda.

    Ini memberi pengajaran kepada kita sebagai umat Islam agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT, terutamanya ketika menghadapi kesulitan hidup. Serta, jauhilah segala larangan Allah SWT dan berterusanlah meningkatkan keimanan kepadaNya agar menjadi hamba yang sentiasa disayangi Allah SWT.

    2. Kepentingan solat fardu

    Terpenting adalah tentang solat lima waktu sehari semalam. Antara kewajipan mendirikan solat dengan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubungan begitu mendalam sehingga digelarkan solat itu sebagai ‘al-Mikraj al-Ruhi.’

    Kewajipan solat melebihi kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima secara langsung daripada Allah SWT sewaktu Rasullullah SAW bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan.

    Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

    3. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat

    Semasa Israk Mikraj, ketika Rasulullah SAW dibawa meninjau keadaan di neraka, Baginda juga melihat pelbagai bentuk penyeksaan, seperti hukuman kepada pemakan riba, penzina, pengumpat yang suka memfitnah dan lain-lain lagi.

    Baginda juga ditunjukkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala.

    Ini memberi iktibar supaya kita menjauhi semua perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Jika perbuatan itulah yang dilakukan, balasan seperti itulah yang bakal diterima kelak.

    4. Mengakui kebesaran Allah SWT

    Sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Rasulullah SAW akan keagungan dan keajaiban ciptaanNya, yang sememangnya tidak pernah di-bayangkan oleh manusia.

    Baginda dibawa ke sebuah tempat yang bernama Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi. Sesunguhnya Allah sentiasa mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya.

    Sebagai hamba kerdil yang diciptakan untuk beribadah kepadaNya, kita wajib yakin dan percaya akan semua kekuasaan Allah SWT itu.

    5. Amalan memberi salam

    Sepanjang Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada para rasul yang Baginda temui. Ini memberi pengajaran kepada kita untuk melakukan hal yang sama. Ini sebagai penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan antara saudara sesama Islam.

    Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Hanya kepada Nabi Muhammad SAW untuk diikuti oleh umatnya.

    Banyak pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya dalam melihat keistimewaan yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW sebagai bukti kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

    Israk Mikraj juga adalah ujian buat diri umat silam bagi menguji tahap keyakinan dan keimanan tentang kesahihan berlakunya peristiwa itu. Peristiwa ini juga adalah perihal iman dan hati. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang dapat menghayati hikmah dan mengambil pengajaran di sebalik peristiwa agung ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda