Friday, May 3, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Perjumpaan bahas masa depan bola sepak

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menerima kunjungan hormat daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Awang Feisal Eusoff dengan majlis berlangsung di JPM, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FABD, di sini, pada perjumpaan itu, Yang Berhormat Pehin berkata, sukan bola sepak menjadi sukan yang digemari ramai di negara ini justeru FABD perlu memainkan peranan yang besar dalam memajukan sukan berkenaan.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin menasihatkan supaya FABD fokus kepada usaha-usaha positif dan menjaga integriti dalam dan luar persatuan.

    Yang Berhormat Pehin menambah, dengan pembukaan semula Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sukan bola sepak diharap akan terus menjadi lebih aktif.

    Sementara itu, Feisal Eusoff melahirkan penghargaan dan menyatakan perjumpaan berkenaan merupakan satu penghormatan sekali gus membuktikan kerjasama dan sokongan berterusan kepada usaha FABD untuk merapatkan hubungan dengan kementerian-kementerian dan jabatan yang berkaitan khusus dalam memajukan sukan bola sepak di negara ini.

    Presiden FABD juga menyatakan perkembangan mutakhir FABD di samping menjelaskan beberapa pencapaian yang telah dicapai sepanjang 100 hari pentadbiran baharu di FABD bagi sesi 2024-2028.

    Menurutnya, melalui beberapa pencapaian dan kerjasama yang diperolehi daripada sektor swasta dalam negara dan kerjasama daripada persatuan bola sepak luar negara, ia akan memberi kemudahan usaha FABD untuk menerajui perkembangan bola sepak dalam semua peringkat di samping meningkatkan kemahiran sumber tenaga.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Presiden FABD, Haji Mahrub bin Haji Murni; Pemangku Setiausaha Agung FABD, Awang Matali Haji Mohd Tahir; ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD, Pengiran Haji Jufry bin Pengiran Haji Jaludin dan Pegawai Pemasaran FABD, Awang Mohd Nazree Haji Abu Bakar.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Awang Feisal Eusoff bersama-sama para pegawai FABD bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN FABD
    Sesi perjumpaaan antara Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bersama Awang Feisal Eusoff dan pegawai-pegawai FABD. – GAMBAR SERAHAN FABD

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...