Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Perkasa kepimpinan wanita dalam sukan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Hasil daripada penyelidikan yang dilakukan oleh Perwakilan Wanita di Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, menunjukkan bahawa penglibatan wanita sebagai komiti eksekutif dalam persatuan dan persekutuan sukan adalah agak minimum.

    Berpandukan Garis Panduan IOC, wanita hendaklah sekurang-kurangnya memenuhi 30 peratus daripada komiti eksekutif berkenaan.

    “Walaupun perkara ini tidak akan berlaku dengan sekelip mata, tetapi dengan usaha Jawatankuasa Kesaksamaan Jantina (GEC), Insya Allah perkara ini akan terlaksana,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam semasa Seminar Wanita dalam Sukan 2023 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Seterusnya dari segi penyertaan atlet, sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara, setakat ini, seramai 1,022 orang atlet perempuan direkodkan iaitu sebanyak 34 peratus atlet perempuan.

    Di samping itu, Agenda Olimpik 2020 di bawah IOC juga ada menggariskan pelan hala tuju, Olympic Movement 2020 dan IOC Gender Equality Review Project berdasarkan kredibiliti, kemampanan dan belia.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan mengurniakan sabda semasa seminar berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan bergambar ramai bersama moderator dan speaker semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Sejak Agenda Olimpik 2020 diadaptasikan, ia telah memberikan impak ke dalam penglibatan wanita dalam sukan secara keseluruhannya,” sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara lagi.

    Antara cadangan yang digariskan adalah termasuk mengambil kira kesaksamaan seperti jumlah kuota bagi atlet lelaki dan perempuan, jumlah pasukan lelaki dan perempuan, pegawai teknikal lelaki dan perempuan serta jurulatih lelaki dan perempuan.

    Terdahulu dalam sabdanya, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara menyatakan Seminar Wanita dalam Sukan adalah acara yang akan memperkasakan pemimpin wanita masa hadapan dalam sukan dengan memberikan sokongan yang diperlukan di samping melindungi hak mereka dalam sukan.

    Seminar itu disertai oleh seramai 50 orang peserta dari 30 persatuan dan persekutuan sukan Brunei Darussalam, pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai dari tiga majlis sukan.

    “Penyertaan mereka ini menunjukkan sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam memperkasakan kepentingan peranan wanita dalam pelbagai bidang sukan di negara ini.”

    Ia juga dihasratkan untuk mewujudkan satu platform perbincangan dan kerjasama dalam memperkasakan peranan wanita dalam bidang sukan serta juga bertujuan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran golongan wanita mengenai kepentingan Ekosistem Seimbang Jantina dalam Sukan Brunei.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara bersabda, “Matlamat seminar ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) 5 iaitu untuk mencapai Kesaksamaan Wanita dan memperkasa golongan wanita dalam sukan.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...