Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Program timba kemahiran golongan belia dan beliawanis

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    TUTONG, 20 NOV – Ke arah memperkasakan golongan belia dan beliawanis untuk terus menimba kemahiran dan pengalaman bermanfaat bagi kepentingan masa depan, Jabatan Belia dan Sukan, Cawangan Daerah Tutong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengadakan Program Let’s Bake dan Let’s Donate selama tiga hari bermula hari ini.

    Program yang diadakan di bangunan jabatan berkenaan telah disambut baik dengan penglibatan lebih 25 orang peserta di mana mereka berpeluang mempelajari proses-proses pembuatan biskut, kek dan roti secara teori dan praktikal pada hari pertama dan kedua program tersebut.

    Di samping itu, mereka juga diberikan pengetahuan tambahan dari segi teknik pembungkusan yang betul.

    Hasil sentuhan para peserta itu nanti dirancang akan disumbangkan kepada golongan-golongan memerlukan di sekitar Pekan Tutong pada hari terakhir program pada 23 November.

    Pada hari terakhir itu nanti, para peserta akan turut didedahkan dengan aktiviti bergotong-royong bersama Persatuan Pertiwi cawangan Daerah Tutong dengan menyediakan pelbagai hidangan bagi melengkapi sumbangan berkongsi rezeki tersebut.

    Penyelaras program berkenaan, Dayang Surayah binti Haji Abdul Rashid berkongsi dengan Media Permata bahawa program sedemikian merupakan salah satu usaha bagi merealisasikan hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam lebih-lebih lagi untuk menyahut inisiatif yang terkandung dalam Dasar Belia Negara dan Strategik 2020-2035.

    “Pastinya menjadi harapan tulus kami untuk menyaksikan penglibatan golongan belia dan beliawanis di negara ini dalam program sebegini mampu sedikit sebanyak membantu mengembangkan pembangunan negara di mana dengan kemahiran yang diperolehi mampu mendorong mereka mewujudkan keusahawanan sendiri meskipun bermula secara kecil-kecilan,” ujarnya.

    Antara belia dan beliawanis yang turut serta dalam program berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...