Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam merasmikan perlawanan persahabatan badminton 2022 bersempena meraikan Hari ASEAN bertempat di Dewan Diplomatik KBRI di Jalan Kebangsaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas di perlawanan berkenaan ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Pengiran Datin Shazainah binti Pengiran Dato Paduka Shariffuddin.
Turut menyertai perlawanan persahabatan tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dr Mansurah Izzul Bolkiah.
Perlawanan tersebut disertai oleh seramai 17 perwakilan diplomatik, termasuk ketua-ketua perwakilan diplomatik dan kakitangan mereka, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Dua kategori telah dipertandingkan, iaitu kategori Exhibition Fun Game yang disertai oleh ahli VIP dan Perlawanan Persahabatan disertai oleh kakitangan misi diplomatik dan kementerian.
Menurut Duta Besar Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko, acara ini diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada antara perwakilan kedutaan dan suruhanjaya serta pegawai dan kakitangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selain untuk memperingati ulang tahun ke-55 ASEAN yang jatuh pada 8 Ogos.
Terdahulu, acara dimulakan dengan Tarian Gemu Fa Mi Re yang disertai oleh para peserta.
Pada perlawanan tersebut, Kol Angelo Gerard P Ariles dan Hermosillo T Inoferio dari Kedutaan Republik Filipina berjaya memenangi pertandingan selepas menundukkan Abdul Rashid Haji Idris dan Maidin Haji Tamat dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Mereka membawa pulang piala iringan sumbangan KBRI.
Pada tahun 2023, Indonesia akan menjadi pengerusi ASEAN, yang akan mengambil alih kepengerusian ASEAN daripada Kemboja.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/08/P23-B_23082022.jpg)