Friday, January 24, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Perpustakaan lebih dipercayai, rujukan maklumat sahih’

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) bersedia dalam peranannya sebagai organisasi sosial yang mendukung pendidikan dari awal membawa kepada pembelajaran sepanjang hayat.

    “Kita mahu membawa semula komuniti kita kembali kepada perpustakaan, kembali kepada gedung ilmu yang sepatutnya kita manfaatkan dengan semaksimum mungkin.”

    Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Ketua Pustakawan, Perpustakaan UBD, Haji Awang Muhammad Yussuf bin Pehin Orang Kaya Indera Dewa Dato Paduka Haji Awang Musa dalam kata alu-aluannya pada perasmian Hari Terbuka Perpustakaan UBD yang berlangsung di perpustakaan berkenaan, hari ini.

    Hadir bagi menyempurnakan perasmian hari terbuka berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Haji Muhammad Yussuf menyatakan pada masa kini, kita semua mendewasa dengan belajar dari pelbagai platform dari segenap sudut kehidupan.

    Haji Muhammad Yussuf menyampaikan kata alu-aluannya di majlis yang berlangsung di Perpustakaan UBD. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Dr Hazri menyempurnakan perasmian Hari Terbuka Perpustakaan UBD. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Para jemputan khas melihat dengan lebih dekat pameran-pameran yang disediakan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Beliau menambah bahawa kita menjadi tahu akan banyak perkara melalui media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan TikTok di mana semua itu menawarkan maklumat dunia yang banyak.

    “Kita dilingkungi oleh beban kesaratan maklumat dan salah satu cara terbaik bagi menapis maklumat yang benar-benar sahih dan tepat adalah dengan kita kembali kepada belajar atau menggunakan perpustakaan, mengajar dan membuat kajian dalam suasana atau persekitaran yang lebih autoritatif, lebih dipercayai dengan rujukan kepada bahan buku, jurnal, pangkalan data sama ada dalam bentuk cetak atau elektronik.”

    Beliau menambah, “Kita mahu menjadi masyarakat dan individu berilmu, terdidik dan mendidik hanya dengan maklumat yang sahih atau tepat sahaja.”

    Selepas menyempurnakan perasmian, Dr Hazri kemudian menyaksikan pameran serta diberikan penerangan mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di Perpustakaan UBD.

    Hari Terbuka UBD diadakan selama empat hari hingga 18 Januari dari pukul 9 pagi hingga 4:30 petang.

    Acara itu menyediakan pelbagai aktiviti bagi disertai oleh para pengunjung termasuk pemeriksaan kesihatan, kempen menderma darah, bengkal dan seminar serta jualan makanan dan minuman daripada vendor-vendor yang mengambil bahagian.

    Ia bertujuan bagi mengalu-alukan ahli komuniti dari luar UBD untuk mengenali dengan lebih dekat akan peranan, perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan serta disediakan oleh UBD.

    Di samping itu, para pengunjung juga dialu-alukan bagi mengambil bahagian dalam siri bengkel dan seminar yang turut diadakan untuk memeriahkan lagi acara yang meraikan perkongsian maklumat dan pembelajaran.

    Prasarana yang disediakan oleh UBD adalah bagi memainkan peranannya sebagai organisasi sosial yang mendukung pendidikan dari awal membawa kepada pembelajaran sepanjang hayat.

    Bagi mereka yang berminat untuk menjadi ahli perpustakaan berkenaan, khidmat bantuan khas yang disediakan bagi memudahkan pendaftaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda