Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Bagi Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), rakyat dan negara merupakan salah satu keutamaannya dan selain daripada minyak dan gas yang dihasilkan, mereka juga akan menjana nilai tambahan yang membawa manfaat kepada warga dan Negara Brunei Darussalam.
Ia juga berkaitan dengan pihaknya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat untuk menangani cabaran tenaga kerja negara di mana ia boleh direalisasikan menerusi penjanaan pekerjaan dan pengambilan kerja langsung ke dalam syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV).
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Sumber Manusia BSP, Hajah Zainab binti M A Omar dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan Kontrak Biasiswa BSJV 2020 yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatangan kontrak berkenaan ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Shell Country Chair di Brunei dan Pengarah Urusan BSP, Agnete Johnsgaard-Lewis; Pengarah Urusan Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Talib; Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM), Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil, pegawai-pegawai kanan kerajaan BSJV dan universiti-universiti tempatan serta ibu bapa para penerima biasiswa.


Hajah Zainab dalam kata alu-aluannya turut berkata bahawa pihaknya akan terus menyumbang kepada keperluan perniagaan mereka dalam industri tenaga dengan membangunkan serta mengembangkan corong bakat tempatan Brunei dalam pelbagai disiplin termasuk petroleum, mekanikal, kejuruteraan proses dan sains alam sekitar.
Pembelajaran dan pembangunan mereka, ulasnya lagi, akan berterusan apabila mereka menyertai syarikat-syarikat BSJV menerusi peluang-peluang pembangunan bertaraf dunia, rangka kerja kompetensi bertauliah antarabangsa serta latihan pekerjaan.
Di majlis berkenaan seramai 33 orang pelajar cemerlang terpilih menandatangani kontrak di bawah Skim Biasiswa BSJV di mana syarikat-syarikat BSJV yang menganugerahkan biasiswa berkenaan ialah BSP, Brunei LNG dan BSM.
Pelajar-pelajar yang terpilih itu akan melanjutkan pengajian di universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan universiti-universiti di Australia dan United Kingdom. Penandatanganan kontrak berkenaan disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny, Agnete Johnsgaard-Lewis dan Hajah Farida.
Setelah menamatkan pengajian, mereka akan menyertai syarikat-syarikat
BSJV sebagai profesional muda.
Pada tahun ini, BSP juga menganugerahkan satu biasiswa baharu iaitu Biasiswa Keselamatan BSP kepada seorang pelajar yang akan mengambil ijazah dalam Sains Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan di University of Queensland, Australia.
Biasiswa Keselamatan BSP itu bermatlamat untuk menghasilkan profesional keselamatan berkemahiran tinggi dengan visi ke arah meningkatkan bar standard keselamatan dalam kalangan warga Brunei.
Ia adalah selaras nilai keselamatan syarikat dan Visi BSP Goal Zero iaitu untuk tidak menyebabkan bahaya kepada orang dan tidak mengalami kebocoran daripada operasi mereka.