Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pertandingan Menambang Syair Sejarah Brunei pelihara sastera warisan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Seramai 13 orang telah memperdengarkan syair mereka dalam Pertandingan Menambang Syair Sejarah Brunei Tahun 2023 Peringkat Saringan yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB) hari ini.

    Hadir pada pertandingan berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengetua PSB, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh dan Pegawai Tugas- tugas Khas Kanan, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB), Dr Haji Ramlee bin Haji Tinkong.

    Pada akhir pertandingan, hanya lima orang peserta lelaki dan lima peserta perempuan sahaja dari setiap kategori berjaya mara ke peringkat akhir nanti.

    Pertandingan anjuran PSB dengan kerjasama Pejabat Sekretariat MTMIB itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan, yang mana para peserta adalah peserta yang menyertai Bengkel Menambang Syair Sejarah Brunei pada 15 dan 16 November lalu.

    Para peserta membawakan syair dengan menggunakan Irama Tambang Begawan dengan memetik tujuh rangkap daripada salah satu daripada tiga bahan yang terpilih.

    Dr Haji Ramlee dan antara kakitangan serta pegawai yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Salah seorang peserta memperdengarkan bacaan syair semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Tiga bahan yang membawakan persoalan sejarah bangsa dan negara itu ialah mengenai Sejarah Bangsa: Antologi Syair (terbitan PSB, 2012), Syair Perlembagaan Negeri Brunei karya Muda Omar ‘Ali Saifuddien (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 2006) dan Syair Rakis karangan Al-Marhum Pengiran Shahbandar Pengiran Mohd Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda (terbitan PSB, 1983).

    Pertandingan diadakan sebagai salah satu usaha dalam memberikan pendidikan sejarah dan menyemai semangat menghargai, memelihara dan mengekalkan seni sastera warisan tradisi dalam kalangan belia.

    Ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-18, yang menekankan tentang penghayatan nilai-nilai keBruneian dalam kalangan belia.

    Pertandingan juga diharap akan menjadi wadah dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan dalam kalangan belia terhadap falsafah negara, iaitu Melayu Islam Beraja (MIB) yang menjadi asas nilai keBruneian.

    Penganjurannya juga merupakan satu inisiatif PSB dan Pejabat Sekretariat MTMIB dalam melestarikan kecemerlangan kesultanan Brunei berdasarkan karya-karya sastera berunsur sejarah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...