Monday, May 20, 2024
28.6 C
Brunei

    -

    Perubahan iklim dan air kotor cetus penyakit di Iraq

    IRAQ – Seorang bapa warga Iraq yang bimbang menunjukkan bisul di muka anak perempuannya yang berusia setahun, punca daripada jangkitan parasit yang dibawa oleh lalat pasir di kampung terpencilnya.

    “Ia adalah penyakit kulit, ‘bisul Baghdad’,” kata Najeh Farhan mengenai nanah di mulut Tiba ketika kanak-kanak itu bermain dengan puting plastik di rumah mereka di wilayah Al-Diwaniyah yang dilanda kemarau.

    Seperti ribuan kanak-kanak di Iraq – sebuah negara yang bergelut dengan kesan peperangan, kemiskinan yang mencengkam, tekanan air dan pemanasan planet – Tiba sedang sakit tetapi tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang baik.

    “Kami tidak mempunyai pusat perubatan, kami tidak mempunyai apa-apa,” kata Farhan, seorang bapa yang mempunyai tujuh orang anak, mengenai kampung kecilnya di Al-Zuweiya.

    Tiba telah dijangkiti penyakit yang dipanggil leisymaniasis kulit, yang menjadi endemik di Iraq selama beberapa dekad.

    Daripada kolera kepada cirit-birit kronik dan serangan asma yang dicetuskan oleh lalat pasir, senarai masalah kesihatan yang dihadapi oleh masyarakat Iraq adalah berpanjangan. – AFP
    Seorang wanita membawa adiknya yang mengalami kolik usus, untuk pemeriksaan di kampung Al-Ayyach di Iraq. – AFP
    Tiba telah dijangkiti penyakit yang dipanggil leisymaniasis kulit, endemik di Iraq selama beberapa dekad. – AFP
    Ramai kanak-kanak di Iraq yang menghadapi krisis kesihatan awam, tidak mempunyai akses kepada rawatan perubatan yang mencukupi. – AFP
    Gambar AFP

    Menjelang 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa sebanyak 8,000 jangkitan telah didaftarkan di negara tersebut.

    Namun pada tahun ini, dalam satu perkembangan yang mengejutkan, ia melaporkan kes pertama yang disahkan dalam wilayah di utara Iraq yang biasanya bebas daripada lalat pasir.

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengatakan akses yang tidak mencukupi kepada rawatan perubatan di kawasan terpencil sebagai pendorong penyakit tersebut – tetapi seorang pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut menekankan kesan perubahan iklim.

    “Lalat pasir, seperti serangga lain, membiak dengan baik pada tahap suhu dan kelembapan tertentu,” beritahu Wael Hatahit, wakil pemangku WHO di Iraq, kepada AFP.

    Beliau menunjukkan kepada kenaikan suhu dan perubahan dalam pola hujan di Iraq dan berkata penyebaran penyakit yang dibawa oleh lalat pasir itu ke utara tidak dapat dijelaskan kecuali jika ada perubahan iklim.

    Tiba dan salah seorang abangnya, yang menghidap penyakit kuning dan ruam kulit, adalah mangsa krisis kesihatan awam yang lebih luas di Iraq.

    Daripada penyakit kolera kepada cirit-birit kronik dan serangan asma yang dicetuskan oleh ribut pasir, senarai masalah kesihatan yang dihadapi oleh masyarakat yang kurang berkemampuan adalah panjang.

    Bulan Sabit Merah Iraq telah menjalankan kempen di sembilan wilayah di seluruh wilayah selatan dan tengah negara yang terjejas oleh cuaca panas yang meningkat dan kemarau yang telah melanda komuniti petani.

    Mereka telah menghantar 25 orang doktor, 150 orang sukarelawan, lima klinik mudah alih dan 10 ambulans dalam kempen untuk menyediakan rawatan perubatan percuma dan meningkatkan kesedaran tentang pelbagai ancaman kesihatan.

    Dalam satu lawatan baru-baru ini, wanita yang berpakaian hitam sedang menunggu di sebelah ambulans untuk memeriksa seorang kanak-kanak di Al-Ayyach, sebuah lagi perkampungan Diwaniyah, ketika pekerja bantuan mengasing-asingkan kan bekalan perubatan mereka.

    Raghda Ihsane, seorang ahli farmasi, menyenaraikan kes yang paling umum yang dirawat oleh pasukan perubatan: “Jangkitan usus, penyakit dermatologi, ruam kulit yang disebabkan oleh kualiti air yang tidak baik, saluran kencing yang meradang.”

    Air yang kotor dan tidak selamat merupakan ancaman kesihatan utama di Iraq, salah satu daripada lima negara yang terjejas teruk oleh kesan perubahan iklim dan kini berdepan dengan tahun keempat kemarau berturut-turut.

    Kekurangan itu diburukkan lagi dengan kekurangan aliran sungai Tigris dan Efrat disebabkan oleh empangan di hulu, serta kerosakan berpunca daripada konflik dan
    pengabaian terhadap pelan rawatan dan infrastruktur air.

    Seorang pegawai kementerian alam sekitar baru-baru ini mengakui bahawa ‘paip pembetung di Baghdad menyalirkan air buangan terus ke Sungai Tigris’, dalam komen yang dipetik oleh akhbar harian Al-Sabbah yang dikendalikan kerajaan.

    Kolera sedang merebak di utara, terutamanya di Sulaimaniyah, bandar kedua Kurdistan Iraq, di mana WHO telah mendaftarkan 152 kes yang disahkan pada 12 September.

    “Punca utama ialah penggunaan air yang tidak selamat diminum,” kata Sabah Hourami, Pengarah Pihak Berkuasa Kesihatan Sulaimaniyah.

    Dia menegaskan bahawa pihak berkuasa telah mengambil tindakan dengan mengu-ji kandungan klorin bekalan air awam dan mengetatkan kawalan terhadap lori tangki air, restoran dan masjid.

    Memandangkan pesakit telah datang berduyun-duyun ke hospital tempatan, beliau berkata, “Kami tidak lagi menyaring orang.

    “Mereka yang mengalami cirit-birit dan muntah secara automatik dianggap sebagai kes kolera.”

    Tekanan air adalah punca utama kepada ancaman kesihatan, kata ahli antropologi perubatan Mac Skelton, yang mengetuai Institut Kajian Serantau dan Antarabangsa di Universiti Amerika Iraq-Sulaimani.

    “Pengurangan aliran air bermaksud peningkatan kepekatan kumbahan dan bahan pencemar industri yang ada dalam bekalan air, yang biasanya tidak dapat diproses dengan baik oleh kemudahan rawatan air Iraq,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...