Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim punca taburan hujan ekstrem berlarutan

    KUALA LUMPUR – Meskipun memasuki bulan Februari, hujan lebat yang menyebabkan banjir di beberapa buah negeri masih belum lagi menunjukkan tanda-tanda untuk reda, malah penduduk yang terjejas masih lagi terkandas di pusat pemindahan sementara. Bencana banjir yang kali ini dianggap abnormal kerana berlarutan dan menyaksikan musim tengkujuh lebih panjang daripada biasa adalah berpunca daripada perubahan iklim dan taburan hujan yang ekstrem akibat kelembapan atmosfera yang tinggi, kata pakar-pakar klimatologi.

    Menurut Timbalan Pengarah Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) Universiti Malaya Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, lebihan hujan yang terhasil adalah kesan daripada fenomena La Nina yang mana menyaksikan negara menjadi kawasan tumpuan kelembapan.

    Kelembapan tinggi

    Azizan, yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Malaysia, berkata kadar pemanasan di Artik yang lebih daripada kawasan lain menyebabkan vortex polar yang mengasingkan udara sejuk Artik dari kawasan latitud sederhana menjadi lebih lemah.

    “Justeru itu udara sejuk dari Artik akan menerobos ke kawasan latitude sederhana dan mengukuh tekanan tinggi di Eropah dan Siberia. Pengukuhan tekanan tinggi khasnya tekanan tinggi Siberia semasa musim sejuk tahun 2016 dibantu oleh keadaan La Nina lemah telah menyebabkan kejadian serbuan udara sejuk dari Siberia menjadi lebih kerap dan lebih kencang,” katanya menjelaskan kepada Bernama.

    SK08_060217_TAMAN NEGARA TANJUNG DATU

    Apabila serbuan udara ini melalui Laut China Selatan, ianya akan mengutip wap air daripada sejatan dan wap air ini akan menjadi hujan di kawasan daratan Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand. “Sebaliknya, angin yang sama yang melalui Korea dan utara Thailand pula membawa cuaca sejuk dan kering kerana melalui kawasan benua. Ia hanya menjadi lembab bila melalui kawasan laut,” katanya.

    Beliau berkata, bagaimanapun banjir yang berlaku kali ini tidak seteruk banjir berskala besar pada 2014 kerana keadaan monsun timur laut adalah pada pengakhir, di mana dijangka bila bulan Mac tekanan tinggi di Siberia akan mula menjadi lemah.

    “Selalunya masa-masa sekarang patutnya hujan sudah berkurangan, kali ini sedikit bukan kebiasaan… namun kalau empat hari masih ada masa untuk surut dan kalau betul-betul lebat pun adalah pada Disember… mungkin pada Mac nanti akan reda terus,” katanya.

    Tambahnya, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir telah terbiasa dengan bah yang melanda dan menyebabkan mereka sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan bencana tahunan itu. “Mereka terutamanya penduduk di Kelantan yang adalah negeri yang berisiko tinggi sudah ada budaya menyesuaikan diri dan tahu bagaimana hendak bertindak apabila banjir kecuali banjir yang teruk seperti pada 2014.

    “Jadi apabila berlakunya banjir teruk, itu yang mereka tidak biasa dan timbul pelbagai masalah serta impak serius… sebab itu adalah penting bagi mereka yang tinggal berdekatan sungai dan pantai untuk sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

    Beliau berkata kesedaran kesihatan juga semakin meningkat berbanding 20 tahun lepas, di mana pada masa sekarang tiada lagi kes penyakit akibat pembawaan air banjir seperti taun dan cirit-birit dilaporkan.

    Berjaga-jaga

    Dalam pada itu, Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Ku Halim Ku Hamid berkata tidak mustahil perubahan iklim akan menyebabkan banjir buruk termasuklah banjir kilat berulang lagi dengan lebih kerap.

    Katanya, hujan lebat meskipun hanya beberapa jam boleh menyebabkan kenaikan dan limpahan air sungai dan mengakibatkan banjir kilat termasuklah di kawasan bandar. “Tahun-tahun sebelum ini, pada waktu ini banjir sudah surut dan berlalu… ini semua adalah kerana faktor perubahan taburan hujan dan musim alam yang tidak menentu yang menyaksikan musim hujan menginjak dari waktu yang selalu kita alami.

    “Hujan yang tidak disangka boleh menjejaskan persekitaran dan keselamatan penduduk… perlu diingatkan banjir ini walaupun sekejap tetapi boleh beri kesan yang amat teruk,” katanya.

    Maka, katanya, semua pihak termasuk orang ramai terutama yang tinggal di kawasan berisiko tinggi ditenggelami air perlulah sentiasa peka dan berwaspada sepanjang masa untuk tujuan keselamatan diri dan keluarga. Ku Halim juga berkata seharusnya satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) padu yang merangkumi segala aspek untuk jangka pendek dan panjang perlu diusahakan sebagai persediaan menghadapi banjir di seluruh negara.

    Kelihatan sekumpulan lembu yang terperangkap di kawasan tanah tinggi yang dikelilingi dengan arus air sungai yang mengalir walaupun hujan sudah berhenti. – Bernama
    Kelihatan sekumpulan lembu yang terperangkap di kawasan tanah tinggi yang dikelilingi dengan arus air sungai yang mengalir walaupun hujan sudah berhenti. – Bernama

    SK07_060217_TAMAN NEGARA TANJUNG DATU

    Katanya, pengalaman berhadapan dengan banjir kilat saban tahun, seharusnya menjadi panduan kepada pihak berkuasa bagi mengenalpasti segala bentuk kekuatan serta kelemahan persiapan menghadapi bencana. “Pihak yang memantau seperti Jabatan Meteorologi mempunyai data, ramalan dan pergerakan angin… mereka mempunyai langkah yang lengkap untuk memberi amaran awal, maka segala aset bantuan dapatlah digerakkan awal setiap kali berlakunyabanjir,” katanya.

    Pinjam daripada bank dunia jika perlu

    Tidak salah untuk kerajaan membuat pinjaman dana dengan Bank Dunia misalnya, bagi tujuan pembangunan semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir, sekiranya pinjaman itu benar dapat menyelesaikan masalah banjir secara total.

    Menurut Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Shazali Abu Mansor, tidak guna pinjaman dibuat sekiranya banjir besar akan tetap berulang setiap tahun dan memusnahkan kembali infrastruktur yang baharu dibangunkan.

    Katanya, tanpa pelan komprehensif dan tuntas, ia hanya akan menyebabkan langkah peminjaman itu menjadi sia-sia dan menambah kadar keberhutangan negara. Beliau mengulas cadangan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini yang menyarankan kerajaan untuk membuat pinjaman dengan Bank Dunia atau Bank Pembangunan Asia jika ketidakcukupan peruntukan untuk membangunkan semula infrastruktur terjejas.

    Shazali berkata sekiranya kerosakan itu menjejaskan ekonomi rakyat yang terlibat dan seterusnya memberi impak besar kepada ekonomi negara, maka adalah wajar pinjaman itu dibuat untuk digunakan sebagai dana pembangunan semula.

    Namun dalam masa yang sama, meskipun faedah yang dikenakan Bank Dunia adalah rendah, namun negara juga perlu mengukur keupayaan membayar balik pinjaman itu bagi memastikan pembayaran semula tidak membebankan.

    Beliau berkata kerajaan juga tidak sepatutnya berhabisan belanja yang amat tinggi di kawasan yang berisiko banjir, sebaliknya membangunkan penempatan baharu yang jauh dari kawasan berisiko.

    “Kalau hanya membangunkan kawasan yang sedia berisiko banjir, ia tidak akan selesai kerana ia akan rosak juga setiap kali banjir berlaku… maka yang paling efektif adalah dengan penempatan semula,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda