Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan ke-30, sebuah acara penting di Brunei Darussalam ke arah meningkatkan ekonomi pagi tadi secara rasmi dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Majlis pelancaran yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) itu telah menghimpunkan para orang kenamaan, pemimpin industri, peserta dan orang ramai untuk merasmikan Pesta Pengguna yang akan berlangsung selama lima hari yang telah diberi penjenamaan semula untuk memberi fokus kepada perdagangan, kerjasama perniagaan dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan ke-30 itu dengan bangganya menampilkan penyertaan dari negara-negara seluruh dunia, termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, India, Bangladesh dan Filipina.
Secara khusus, pameran tersebut juga mempamerkan dua acara utama iaitu Expo Wonderful Indonesia dan Mega India Expo, yang menawarkan pandangan unik mengenai budaya, produk dan peluang perdagangan dari negara-negara berkenaan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Komunikasi Korporat di D’Sunlit Sdn Bhd, Chuisan Ting menekankan kepentingan transformasi Pesta Pengguna menjadi platform untuk penglibatan perniagaan dan peluang untuk kerjasama serantau dan antarabangsa, serta berkongsi sejarah bermakna Pesta Pengguna bagi beliau dan keluarganya.
Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew kemudiannya merasmikan Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan ke-30, yang menandakan komitmen untuk memupuk landskap ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Majlis berkenaan berakhir dengan Persidangan Pesta Pengguna (CONFAC25) yang pertama, yang diadakan di Dewan Sidang Media di ICC, di mana pakar industri dan pihak berkepentingan berkumpul untuk membincangkan topik-topik penting mengenai perdagangan dan inovasi.
Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan ke-30 berlangsung dari hari ini hingga 19 Januari.
Dengan menampilkan pelbagai pempamer, acara padanan perniagaan dan CONFAC25 yang pertama, pameran berkenaan menjadi pusat bagi perdagangan dan kerjasama, bertujuan untuk mempromosikan kepelbagaian ekonomi dan memperkukuh perkongsian serantau.
Dalam semangat tanggungjawab terhadap alam sekitar dan menyokong inisiatif penggunaan beg plastik, orang ramai digalakkan untuk membawa beg guna semula untuk keperluan membeli-belah mereka sepanjang acara tersebut. Beg kitar semula edisi CF juga akan dijual semasa acara berkenaan.
Dengan pelbagai pameran dan kehadiran antarabangsa, acara itu dijangka menjadi pusat inovasi dan penglibatan pengguna. Salah satu acara yang diadakan adalah cabutan bertuah utama yang sangat dinanti-nantikan, iaitu sebuah Toyota Vios baharu, yang ditaja oleh NBT (Brunei) Sdn Bhd.