Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh tertarik dengan kelas Al-Quran di balai ibadat

    Oleh Lyna Mohamad – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona telah membuat lawatan ke Balai Ibadat Kampung Sungai Pandan untuk menyaksikan kelas membaca Al-Quran di Kampong Ayer.

    Mengalu-alukan Puan Yang Terutama ialah Awangku Muhd Khairul Hakimin bin Pengiran Abdul Manan yang mengendalikan kelas bacaan Al-Quran untuk 30 hingga 40 orang kanak-kanak setiap pagi Jumaat.

    Balai ibadat tersebut juga menyediakan kelas bahasa Arab selain Al-Quran untuk kanak-kanak berumur antara tiga hingga 14 tahun.

    Sekolah berkenaan ditubuhkan pada 2023 oleh Projek Infaq dan Majlis Belia Brunei (MBB).
    PYT Nahida Rahman Shumona dan anak saudaranya, Fareeah Saifullah yang kebetulan melawatnya dari Australia, meluangkan waktu petang yang indah bersama kanak-kanak, berkongsi cerita selepas kelas.

    Kanak-kanak berkenaan juga diberikan set seni untuk berlatih kaligrafi oleh Puan Yang Terutama.

    PYT Nahida Rahman Shumona dan Awangku Muhd Khairul Hakimin bergambar ramai bersama kanak-kanak dari kelas mengaji berkenaan. – OLEH LYNA MOHAMAD
    PYT Nahida Rahman Shumona menyampaikan cenderahati kepada kanak-kanak semasa kunjungan tersebut. – OLEH LYNA MOHAMAD

    Ketika ditemui, pesuruhjaya tinggi berkenaan berkongsi bahawa beliau mula mendengar tentang kelas berkenaan tahun lepas, daripada bekas ahli Majlis Mesyuarat Negara, Dayang Khairunnissa binti Ashari yang turut hadir pada lawatan itu.

    Apa yang mengejutkannya ialah kebolehan Awangku Muhd Khairul Hakimin mengekalkan perhatian para pelajar daripada Bella yang berumur tiga tahun hingga remaja.

    “Ustaz itu mengagumkan, dia menjaga kelas dengan penuh perhatian, walaupun kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur, dia meletakkan mereka dalam kumpulan kecil dan memberi mereka perhatian individu dengan tiga orang sukarelawan. Saya melihat seorang lelaki kelainan upaya pembelajaran yang turut membantu dalam pengajaran. Ia adalah kelas pagi yang indah,” kongsinya.

    Menurutnya, beliau tidak begitu mahir dalam bahasa Arab tetapi dia boleh mengikut kerana Awangku Muhd Khairul Hakimin mengajar abjad dan ayat-ayat kecil Al-Quran dan kanak-kanak juga mempelajari seni khat asas.

    “Apabila saya melawat kelas itu, saya jatuh cinta dengan kanak-kanak, terutamanya Bella yang berusia tiga tahun. Saya menghabis-kan beberapa jam di sana bersama kanak-kanak, kelas itu penuh dengan keseronokan, belajar dengan ketawa,” katanya lagi.

    Beliau telah memberitahu keluarganya tentang kelas pagi berkenaan dan apabila anak saudaranya bertanya apa yang boleh dia bawa dari Australia untuk anak-anak, dia fikir set seni untuk kaligrafi adalah yang terbaik.

    Kanak-kanak berkenaan juga telah dijamu dengan coklat Australia yang sangat menggembirakan mereka.

    “Anak saudara saya benar-benar terharu, dia mahu melawat lagi dan membantu ustaz mengajar anak-anak kecil menulis,” tambahnya.

    Pada masa ini, Awangku Muhd Khairul Hakimin mengendalikan kelas itu seorang diri dan berkata bantuan akan dihulurkan tetapi bukan mudah memandangkan tempat itu agak sukar untuk dikunjungi, kata Puan Yang Terutama.

    Beliau berharap untuk mempunyai lebih banyak peluang melawat kelas seperti itu terutamanya kanak-kanak di kawasan yang jauh.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...