Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Piala Dunia diawalkan sehari?

    DOHA, 10 OGOS – Perlawanan pembukaan bagi Piala Dunia tahun ini, antara penganjur kejohanan Qatar menentang Ecuador, akan diawalkan sehari iaitu pada 20 November, sumber Piala Dunia memberitahu AFP hari ini.

    Langkah itu, yang akan diluluskan oleh pihak berkuasa FIFA sebelum penghitungan 100 hari bermulanya kejohanan, akan mengekalkan tradisi perlawanan pertama yang menampilkan pasukan tuan rumah beraksi.

    Di bawah perjanjian sedia ada, Senegal dan Belanda akan bermain dalam perlawanan pertama pada 21 November, diikuti perasmian perlawanan antara Qatar dan Ecuador sehari kemudian.

    Sumber Piala Dunia berkata pengesahan perubahan akan diumumkan tidak lama lagi. FIFA dan jawatankuasa penganjur Qatar enggan memberikan sebarang kenyataan.

    “Terdapat perbincangan dan perjanjian antara kedua-dua buah pasukan dan terdapat permintaan daripada CONMEBOL,” kata sumber Piala Dunia kepada AFP, yang tidak ingin didedahkan kerana keputusan rasmi masih belum diumumkan.

    “Kami mahu mengikut tradisi iaitu sama ada pasukan juara bertahan atau penganjur kejohanan untuk terlibat dalam perlawanan pembukaan,” tambah sumber.

    Bagi peminat yang sudah membeli tiket bagi perlawanan 21 November, “Sebarang permasalahan akan diselesaikan agar impaknya menjadi minimal,” menurut satu lagi sumber memberitahu AFP.

    Dengan perubahan itu, pertemuan Belanda menentang Senegal akan dipindahkan dari pukul 1 petang pada 21 November kepada 7 malam.

    “Ia adalah jadual perlawanan yang lebih baik bagi kedua-dua buah pasukan untuk disiarkan di televisyen dan lainnya,” kata sumber Piala Dunia. – AFP

    Presiden FIFA, Gianni Infantino bercakap sebelum undian Piala Dunia 2022 di Doha pada 1 April lalu. Sumber menyatakan perlawanan pembukaan Piala Dunia akan diawalkan sehari daripada tarikh asal. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...