KUALA LUMPUR, 1 OKT – Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe (gambar bawah) menjelaskan bahawa pintu ke pasukan kebangsaan itu sentiasa terbuka untuk semua pemain yang mempamerkan aksi yang baik.
Bagaimanapun, beliau berkata pemain-pemain harus menepati beberapa kriteria yang ditetapkan seperti faktor umur, mampu menyerapkan cara permainan skuad itu, mempunyai bakat individu dan teknik perlawanan yang baik.
Selepas beberapa tonggak seperti Nor Azam Abdul Azih, J. Partiban dan Brendan Gan dan Shahrul Mohd Saad mengalami kecederaan, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pemain lain sekiranya perlu.
“Buat masa ini, kita nak melihat perkembangan positif daripada Nor Azam, kerana beliau telah mempamerkan aksi yang baik pada dua perlawanan sebelum ini (Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu).
“Tetapi harus diingat bahawa kita tidak boleh bergantung kepada satu-satu pemain sahaja. Yang penting, sesiapa yang diturunkan pada perlawanan nanti, harus menunjukkan prestasi yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari kedua sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata sebagai jurulatih, beliau turut mempunyai tanggungjawab untuk melahirkan bakat-bakat muda selain membimbing pemain yang sedia demi masa depan pasukan kebangsaan.
Walaupun mengejar keputusan positif dalam kempen pusingan kedua, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tetapi beliau mempunyai falsafah untuk memberikan peluang kepada pemain muda dalam pasukan itu.
“Ianya penting kerana mereka (pemain muda) merupakan masa depan. Mereka mempunyai tenaga untuk bermain, manakala pemain senior mempunyai pengalaman bermain, jadi ia satu cabaran untuk saya sebagai jurulatih membuat pilihan pemain.
“Memang betul pemain skuad Bawah 19 tahun, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal menonjol, tapi kita masih memantau dan mereka mempunyai kejohanan penting (kelayakan Kejohanan B-19 AFC 2020) pada November ini. Mungkin pada tahun depan baru kita akan beri peluang kepada mereka,” katanya.
Namun, beliau meminta pemain-pemain muda untuk terus bekerja keras kerana masa depan mereka tidak terjamin dengan bakat sahaja. – Bernama