Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    PISA 2022, skor Brunei catat peningkatan

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 bagi 81 negara dan ekonomi yang ikut serta telah diumumkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) di Paris hari ini.
     
    Daripada 690,000 pelajar yang berumur 15 tahun telah turut serta dalam program itu, seramai 5,576 orang pelajar Negara Brunei Darussalam dari 54 buah sekolah menengah telah mengambil bahagian.
     
    Mengikut kriteria penilaian, bahasa pengantar yang digunakan di sekolah-sekolah menentukan bahasa penilaian di mana Brunei adalah salah satu daripada tiga negara ASEAN yang menjalankan kajian berkenaan dalam bahasa Inggeris.
     
    Antara negara ASEAN yang ikut serta, Brunei adalah salah satu daripada tiga negara teratas dalam semua domain PISA 2022.
     
    Skor bagi Negara Brunei Darussalam di ketiga-tiga domain adalah 442 bagi Matematik, 429 bagi Membaca dan 446 bagi Sains.
     
    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati semasa sesi Taklimat Media PISA 2022 di Kementerian Pendidikan, kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Ini adalah peningkatan yang sangat ketara dan signifikan dibandingkan kajian PISA 2018, dengan peningkatan sebanyak 12 skor dalam Matematik, 21 skor dalam Membaca dan 15 skor dalam Sains.
     
    Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin selaku Brunei Darussalam PISA Governing Board (PGB) semasa sesi Taklimat Media PISA 2022 di Dewan P1, Kementerian Pendidikan, hari ini.
     
    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati seterusnya mengongsikan, Brunei adalah satu-satunya negara di mana prestasi kedua-dua kategori pelajar (ESCS advantaged and disadvantaged) meningkat sebanyak 13 mata berbanding 2018.
     
    Pelajar yang berada dalam kategori ESCS disadvantaged juga berkemungkinan besar menghadiri sekolah yang sama dengan pelajar dalam kategori ESCS advantaged di negara ini. 
     
    “Ini memberikan implikasi bahawa hampir semua pelajar berpeluang untuk belajar di mana-mana sekolah di Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.
     
    Beliau seterusnya mengongsikan antara dapatan OECD juga merakamkan semakin ramai ibu bapa terlibat dalam perbincangan bersama guru-guru mengenai prestasi anak mereka pada 2022, dibandingkan dengan 75 buah negara yang ikut serta. 
     
    “Lebih-lebih lagi, kira-kira 80 peratus pelajar di Negara Brunei Darussalam bersetuju bahawa guru-guru mereka sentiasa ada dan bersedia membantu jika mereka memerlukan bantuan.
     
    Kementerian Pendidikan menyifatkan prestasi pelajar yang memberangsangkan adalah hasil daripada usaha gigih para pendidik di negara ini dalam membantu semua pelajar mencapai potensi mereka sepenuhnya. 
     
    “Dengan dedikasi yang tinggi dan usaha gigih yang berterusan juga, sekolah-sekolah telah mencapai peningkatan luar biasa dan ini mengukuhkan lagi kedudukan negara khusus dalam pendidikan dan menjadikan pencapaian ini sebagai penanda aras negara yang baharu,” katanya lagi.
     
    Menurut beliau lagi, pencapaian ini adalah bukti hasil kerja keras, dedikasi dan pendekatan inovatif yang disambut baik oleh pelbagai pihak dan selaras ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
     
    Walaupun ada peningkatan dalam PISA 2022, jelasnya, pencapaian negara masih berada di bawah purata OECD di ketiga-tiga domain.
     
    Kementerian Pendidikan akan meneruskan usahanya dalam memberikan sokongan kepada guru-guru dan sekolah seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023–2027 ke arah mencapai misinya untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti dan holistik bagi kehidupan pelajar yang bermatlamat.
     
    Ini termasuk tapi tidak terhad kepada kajian semula kurikulum pendidikan secara berterusan selaras dengan keperluan negara, terus menyemai dan mendukung teknologi dalam pendidikan, keusahawanan dan inovasi khususnya dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) serta mengukuhkan kualiti penilaian terutama sekali penilaian kendiri sekolah. 
     
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...