Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Program sebar luas peranan PSB

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB), Kementerian Pendidikan dan Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) akan mengadakan Program Multaqa Melayu Islam Beraja pada 9 Disember depan di Bangunan PSB.

    Pemangku Pengetua PSB, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh berkata, antara perisian program ialah sesi Taklimat Sejarah yang akan disampaikan oleh Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dan pelepasan konvoi bagi peserta-peserta Festival Antarabangsa Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo (BIIBBF) ke-21.

    Pada sidang media di Dewan Musyawarah, PSB, beliau menjelaskan bahawa BIIBBF merupakan festival motosikal berkuasa tinggi yang terbesar di seluruh Kepulauan Borneo yang menyatukan penggemar-penggemar motosikal berkuasa tinggi di Borneo, nusantara dan antarabangsa.

    Pada tahun ini, festival diadakan buat kali keenam dan Negara Brunei Darussalam dipilih untuk menjadi tuan rumah.

    Objektif program adalah untuk menyebarluaskan peranan dan fungsi PSB sebagai institusi sejarah dan kesultanan Brunei selaras dengan pencapaian sasaran jabatan iaitu sebagai pusat kecemerlangan sejarah dan kesultanan Brunei serta salah satu kaedah atau pendekatan baharu untuk memberikan informasi sejarah kepada masyarakat Brunei dan Borneo khususnya golongan belia tentang nilai-nilai dan kepentingan mempelajari, memahami dan menghayati sejarah.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk melestarikan sejarah melalui Taklimat Sejarah Awal Hubungan Brunei dengan Borneo selaras dengan matlamat penubuhan PSB untuk mendekatkan sejarah kepada masyarakat, serta mendorong dan menggalakkan masyarakat di negara ini untuk sama-sama mengamalkan budaya hidup sihat dan beriadah.

    Program berkonsepkan pembelajaran, bersantai dan bersilaturahim itu juga merupakan satu tarikan baharu dalam membarigakan sejarah dan kesultanan Brunei dengan lebih menarik dan mudah difahami di samping menanam dan menguatkan lagi semangat cinta dan taat setia kepada raja, agama, negara dan bangsa.

    Program Multaqa Melayu Islam Beraja diharap akan dapat mencapai objektifnya dan berterusan menjalinkan hubungan kerjasama dengan rakan-rakan strategik dan pihak-pihak berkepentingan.

    Awang Mohammad Faisal semasa sidang media yang diadakan di Dewan Musyawarah, PSB kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...