Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pjaca, Alves lengkapkan kemenangan Juventus

    PORTO, 23 Feb – Bintang harapan Croatia, Marko Pjaca ,dan Dani Alves telah keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol ketika Juventus menewaskan Porto 2-0, yang bermain dengan 10 pemain, dalam peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

    Porto menjadi hos kepada Juventus, finalis yang ditewaskan pada 2015, dilihat mahu mendapatkan kemenangan pertama dalam empat pertemuan antara dua pasukan, dan yakin dengan peluang mereka selepas menang enam perlawanan berturut-turut kebelakangan ini.

    Tetapi pasukan tuan rumah mengalami separuh masa pertama yang buruk di Estadio do Dragao, kerana bekas pemain tengah Inter Milan, Alex Telles diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua di minit ke-27.

    Selepas menyaksikan Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala nyaris menemui sasaran, percubaan Higuain telah dinafikan dengan baik di minit ke-39 oleh Casillas, Massimiliano Allegri kemudian menggantikan Cuadrado dengan Pjaca ketika perlawanan memasuki minit ke-67.

    Pemain berusia 21 tahun itu memanfaatkan peluangnya enam minit kemudian, dengan memulakan pergerakan baik di bahagian serangan sebelum merembat bola melepasi Casillas dari jarak 15 ela.

    Pemain muda sensasi Juventus, Marko Pjaca (kanan) ketika menjaringkan gol pertama Juventus menentang Porto dalam aksi Liga Juara-Juara di Estadio do Dragao, awal pagi tadi. – AFP
    Pemain muda sensasi Juventus, Marko Pjaca (kanan) ketika menjaringkan gol pertama Juventus menentang Porto dalam aksi Liga Juara-Juara di Estadio do Dragao, awal pagi tadi. – AFP

    Allegri kemudian menggantikan pemain bek kanan, Stephan Lichtsteiner dengan Alves tidak lama kemudian dan bekas bintang Barcelona itu pula menembusi gawang lawan apabila menerima hantaran lintang dan membuat penyudah baik bagi melengkapkan kemenangan berharga bagi gergasi Turin itu.

    “Pasukan ini masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki, tetapi para pemain telah menunjukkan kematangan yang hebat malam ini,” kata Allegri.

    “Kami memasuki tempoh yang penting musim ini dan kami perlu menghadapinya dengan semangat, keazaman dan menjadi lebih klinikal semampunya.

    “Tetapi kami tidak percaya 2-0 sudah cukup untuk mara ke pusingan seterusnya. Kami perlu melihat perlawanan kedua seolah-olah ia masih 0-0.”

    Dengan menggunakan formasi serangan 4-2-3-1 yang direka untuk membantu Higuain mendapatkan jaringan, namun Juve dipaksa banyak bertahan ketika Porto menguasai permainan di awal minit-minit awal perlawanan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda