NEW DELHI, 23 APRIL – Perdana Menteri India, Narendra Modi memendekkan lawatannya ke Arab Saudi kelmarin, berikutan serangan pengganas di wilayah Jammu dan Kashmir.
Dua puluh enam orang terbunuh dalam serangan kelmarin di padang rumput Baisaran di kawasan Pahalgam yang popular dalam kalangan pelancong.
Serangan oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali itu dikutuk secara meluas oleh pemimpin India dan asing.
Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah tiba di Srinagar, ibu negeri musim panas wilayah itu, pada petang kelmarin untuk meninjau situasi keselamatan di Kashmir.
Dalam catatan di platform X, Modi menyatakan bahawa mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan keji ini akan dibawa ke muka pengadilan.

“Agenda jahat mereka tidak akan berjaya. Tekad kita memerangi keganasan tidak akan goyah, malah akan bertambah kukuh,” katanya.
Modi berada di bandar Jeddah, Arab Saudi kelmarin, untuk lawatan dua hari.
Beliau mengadakan perbincangan dua hala dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, sebelum berlepas pulang ke New Delhi semalam. Modi turut mempengerusikan bersama Mesyuarat Majlis Perkongsian Strategik India-Arab Saudi bagi menilai hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.
Putera Mahkota Arab Saudi mengecam serangan berkenaan dan menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa, menurut jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal.
Pemimpin pembangkang India turut menzahirkan rasa sedih dan mengecam serangan tersebut.
Pemimpin kanan Parti Kongres, Sonia Gandhi berkata beliau amat sedih menerima berita serangan pengganas itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan pengecut.
Serangan itu berlaku serentak dengan lawatan empat hari Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance ke India.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menghubungi Modi untuk menyampaikan ucapan takziah. – Bernama