Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Malta umum letak jawatan

    MOSCOW, 2 DIS – Perdana Menteri Malta Joseph Muscat semalam mengumumkan peletakan jawatannya di tengah-tengah pergolakan politik ekoran pembunuhan wartawan Daphne Caruana Galizia, lapor agensi berita Sputnik.

    “Kami sedang memulakan proses untuk melantik perdana menteri baharu yang akan meneruskan pentadbiran negara,” kata Muscat dalam ucapannya yang disiarkan televisyen, memetik akhbar Times of Malta.

    Muscat berkata beliau telah mengarahkan parti pimpinannya Parti Buruh memulakan proses memilih pemimpin baharu untuk menggantikannya bermula 12 Januari.

    Perkembangan terbaru itu susulan krisis politik yang tercetus di negara pulau Mediterranean berhubung siasatan kes pembunuhan wartawan yang sering membongkarkan isu rasuah. Siasatan kes pembunuhan itu kini di peringkat akhir.

    Pada sidang akhbar hujung bulan lalu, Muscat memberitahu pemberita beliau bertekad untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga siasatan tamat.

    Sehari sebelum itu, ahli perniagaan Malta Yorgen Fenech yang ditahan pada 20 November ketika cuba melarikan diri, didakwa terbabit dalam kes pembunuhan berkenaan.

    Krisis politik itu juga menyaksikan beberapa pegawai kanan kerajaan meletakkan jawatan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Fenech.

    Caruana Galizia sedang menyiapkan laporan mengenai kegiatan syarikat Fenech yang membuat pembayaran kepada 17 ahli politik, lapan bulan sebelum kematiannya. Beliau dibunuh dalam satu kejadian letupan bom kereta di luar rumahnya di Bidnijanya pada Oktober 2017. – Bernama

    Orang awam mengadakan bantahan menuntut peletakan jawatan perdana menteri Malta di La Valletta, Malta pada 1 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda