KUALA KANGSAR, 22 JUN – Berusia 146 tahun, pokok getah tertua di Malaysia yang menjadi pencetus kepada industri getah sebagai penyumbang ekonomi utama negara, kini dikatakan bernilai hampir RM200,000.
Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Saiful Azli Mohamed Nor berkata pokok warisan itu, atau nama saintifiknya Hevea brasiliensis, bagaimanapun memerlukan jagaan rapi dengan kos menyenggara dan rawatan kira-kira RM3,000 hingga RM5,000 setahun.
“Nilai semasa bagi pokok getah ini adalah RM194,183. Pokok getah ini termasuk dalam senarai pokok warisan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.
“Oleh kerana usianya yang mencecah 146 tahun, pokok ini tidak mempunyai simpanan tenaga yang mencukupi untuk memperbaiki strukturnya sendiri jika berlaku sebarang kerosakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Saiful Azli berkata cantasan pokok dilakukan sekali setahun dengan kadar RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada kesukaran kerja dan MPKK juga melakukan rawatan kulat serta pemberian baja yang memakan kos RM500 hingga RM1,000.
“Tidak lupa pemeriksaan kesihatan dan penilaian lanjutan yang dilakukan dua tahun sekali, kos anggaran bagi pemeriksaan ini adalah RM500 hingga RM2,000 bergantung kepada keadaan semasa pokok itu.
“Pihak kami cuba mengekalkan hayat pokok getah ini dengan memberi rawatan dan penjagaan yang sepatutnya,” katanya. – Bernama