Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pokok oak bantu kawal perubahan iklim

    ARBIL – Delband Rawanduzi berbisik lembut kepada anak benih pokok oak, seolah-olah anak benih tersebut akan membesar cepat dan menghuni semula hutan di Kurdistan Iraq yang ketandusan akibat peperangan, pembalakan haram dan kebakaran.

    Dalam tempoh lima tahun akan datang, wanita berusia 26 tahun itu berhasrat menanam satu juta pokok oak, pokok yang boleh bertahan cuaca sejak utara Iraq dan kemarau salah sebuah negara paling panas di dunia.

    Ideanya telah bertapak di negara asalnya di Kurdistan.

    “Dalam satu projek perintis pada akhir tahun lalu, kami menanam 2,000 pokok oak. Dan pada musim luruh akan datang, kami akan menanam 80,000 batang pokok lagi,” kata Rawanduzi, seorang pengembara dan pendaki batu.

    Dia telah mendapatkan bantuan pelawat dan gembala untuk mengutip benih pokok oak dari kawasan pergunungan, yang seterusnya ditanam dalam dua rumah hijau yang disumbangkan oleh sebuah universiti swasta di ibu negara rantau Kurdish Arbil.

    Delband Rawanduzi memegang anak pokok oak di sebuah tapak semaian di Arbil, rantau autonomi utara Kurdish Iraq. – AFP

    Pemandangan pokok oak di daerah Kasnazan, Arbil pada 12 Januari 2021. – AFP
    Delband Rawanduzi memegang buah pokok oak di tapak semaian di Arbil. – AFP

    Sebaik sahaja anak benih membesar menjadi anak pokok, pokok berkenaan ditanam semula di kawasan pergunungan yang dipilih oleh kementerian pertanian Kurdish.

    Untuk memastikan pokok oak membesar dengan baik, Rawanduzi berusaha menarik minat beberapa penaja yang diminta menderma 1,000 dinar Iraq untuk setiap pokok.

    “Projek ini bukan mengenai penanaman pokok sahaja,” kata Rawanduzi.

    “Ia merupakan respons kepada ancaman perubahan iklim, serta usaha untuk mempromosi ekosistem dan mewujudkan kebudayaan di kalangan penduduk untuk menyumbang kepada iklim yang sihat,” beritahunya kepada AFP.

    Ancaman iklim adalah serius, di mana kira-kira 2.2 juta ekar hutan semula jadi dan buatan manusia di rantau Kurdish telah dimusnahkan dalam tempoh dua dekad lalu, menurut anggaran oleh pihak berkuasa Kurdish.

    Ia melambangkan hampir separuh daripada hutan rantau, dengan keba-nyakannya musnah dalam tempoh lima tahun lalu.

    Puncanya termasuk aktiviti meragut rumput, penebangan pokok untuk kayu api, pembangunan bandar tanpa terkawal dan pengeboman.

    Sementara kawasan Kurdish utara telah terlepas daripada bencana yang dilihat di seluruh Iraq selepas serangan pimpinan Amerika Syarikat (AS) pada 2003, ia telah disasarkan oleh beberapa operasi rentas sempadan Turki ke atas militan Kurdish.

    Satu kajian semula dalam gambar satelit yang dijalankan oleh pertubuhan persatuan awam Belanda PAX International mendapati kempen tentera Turki ‘boleh dikaitkan secara langsung’ dengan pembakaran hampir 50,000 ekar tanah di utara Iraq dari Mei hingga September 2020.

    “Kira-kira separuh, iaitu 23,000 ekar tanah yang dibakar membentuk sebahagian daripada kawasan dilindungi khas yang kaya dengan biodiversiti,” katanya.

    Selain itu, 250,000 ekar tanah lagi di rantau autonomi itu dibakar dalam tempoh yang sama, kata PAX, tanpa mengenal pasti pihak yang melakukannya.

    “Pengeboman mengakibatkan kebakaran hutan dan kehilangan tempat tinggal ribuan orang, memusnahkan mata pencarian mereka serta merosakkan ekosistem,” katanya.

    Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), kira-kira dua peratus daripada 437,000 kilometer persegi tanah Iraq dilitupi hutan.

    Kebanyakan kawasan tersebut terletak di zon Kurdish, di mana Rawanduzi berharap projeknya boleh membawa perubahan.

    Anak pokok telah pun ditaja oleh emigran Kurdish di Eropah, pelarian Syria yang menetap di rantau Kurdish, ekspatriat yang bekerja di Arbil dan kakitangan tempatan di sekolah dan hospital.

    Intira Thepsittawiwat, wanita berusia 50 tahun dari Republik Czech yang tinggal di Arbil, menaja 500 batang pokok.

    “Ia adalah projek yang boleh dipercayai, praktikal dan tidak mahal. Ia merupakan penglibatan dan sumbangan kecil saya kepada alam semula jadi Kurdistan Iraq,” beritahu Thepsittawiwat kepada AFP.

    Bagi pekempen iklim, penanaman pokok adalah penting tetapi mesti membentuk usaha lebih luas untuk memerangi pemanasan global.

    Iraq baru-baru ini mengesahkan Perjanjian Iklim Paris 2015, yang bertujuan mencartakan satu laluan untuk mengelak krisis pemanasan, dan telah merangka pelan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

    Ahmed Mohammad, yang mengetuai jabatan kesedaran alam sekitar rantau Kurdish sehingga 2015, memberitahu AFP terdapat banyak cara untuk mencapai matlamat tersebut.

    Membangunkan pengangkutan awam, menghapus penggunaan plastik satu kegunaan dan mendidik penduduk mengenai isu iklim menjadi topik utama dalam senarainya.

    “Penduduk di sini suka kehidupan di luar, berkelah pada hujung minggu dan mendirikan rumah di kawasan pergunungan, namun masih ramai di antara mereka tidak menyedari kepentingan alam semula jadi dan bencana iklim,” kata Mohammad.

    Dia sedang mengemukakan petisyen kepada pihak berkuasa serantau untuk mengharamkan penggunaan botol plastik dalam pejabat kerajaan.

    Penyokong alam sekitar Hawker Ali, 35, berkata rantau mesti bersedia untuk pemulihan jangka panjang.

    “Ia bukan seperti COVID-19, di mana ahli sains boleh mencari penawar,” kata Ali, yang membantu Rawanduzi menjaga anak benih oak di rumah hijau Arbil.

    “Dengan perubahan iklim, semua orang mesti melibatkan diri demi mengurangkan ancaman dan kesannya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda