Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pokok oak berusia 500 tahun tempat cari jodoh

    EUTIN, JERMAN, 4 MAC – Di tengah hutan di utara Jerman, sebuah pokok oak berusia lebih 500 tahun masih menjadi simbol cinta sejati, menyatukan hati para pencari jodoh sejak lebih satu abad lalu.

    Dikenali sebagai ‘Brautigamseiche’ atau ‘Pohon Pengantin Lelaki’, pokok itu memiliki lubang batang khas yang telah berfungsi sebagai peti surat cinta sejak tahun 1892. Bahkan, ia memiliki kod pos sendiri di Hutan Dodau, kira-kira 250 kilometer di utara Berlin.

    Setiap bulan, 50 hingga 60 surat cinta dihantar ke lubang pokok itu oleh pembawa surat rasmi Jerman.

    Mereka perlu memanjat tangga setinggi tiga meter untuk meletakkan surat dalam ‘peti surat semula jadi’ itu.

    Uniknya, sesiapa sahaja boleh membaca dan memilih surat yang menarik hati, membuka peluang untuk mengenali penulis surat dan mungkin bertemu jodoh.

    Menurut perkhidmatan pos Jerman, hubungan sahabat pena yang bermula di pohon itu telah membawa kepada beberapa perkahwinan sepanjang sejarahnya.

    Kisah cinta pertama yang dikaitkan dengan pokok itu bermula pada abad ke-19, apabila seorang anak perempuan seorang renjer hutan dan seorang pengusaha coklat dari Leipzig menjadikan lubang pokok itu sebagai tempat rahsia untuk bertukar surat.

    Hubungan mereka pada mulanya ditentang oleh bapa gadis itu, tetapi akhirnya mendapat restu. Mereka kemudiannya berkahwin di bawah daun pohon oak tersebut pada tahun 1892. – AP

    Orang yang lalu-lalang melihat pokok oak memiliki lubang batang khas yang telah digunakan sebagai peti surat sejak 1892, di hutan Dodau, dekat Eutin, utara Jerman pada 1 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda