Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Australia bongkar sindiket dadah bernilai AS$1 bilion

    SYDNEY, 19 SEPT – Polis Australia hari ini berkata mereka telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang dikenali sebagai ‘The Commission’ yang membawa lebih daripada satu tan kokain ke dalam negara itu dalam beberapa bulan sahaja.

    Enam lelaki berusia antara 25 dan 34 tahun telah ditahan dalam serbuan yang menemui lebih 30 kilogram kokain, termasuk 20 kilogram yang telah dimasukkan ke dalam beg dan dicampak ke luar pagar.

    Polis mendakwa ini hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah bekalan, dengan mendakwa kumpulan itu telah mengedarkan 1.2 tan kokain antara Februari dan Julai tahun ini.

    Polis mendakwa nilai jalanan dadah tersebut adalah kira-kira AS$1 bilion.

    Detektif jenayah terancang, Peter Faux berkata kumpulan itu telah ‘memainkan peranan sebagai kerajaan, bank dan ekonomi kepada dunia penjenayah Sydney’, melalui kadar import kokain yang sangat tinggi.

    “Tangkapan hari ini akan mengakibatkan ramai penjenayah kehilangan pekerjaan kerana bekalan dadah berskala besar yang membiayai jenayah mereka semakin kering,” kata Faux.

    Gambar menunjukkan polis merampas bungkusan plastik yang ditandakan dengan lambang empat daun klover, logo Toyota dan jet pejuang.

    Serbuan itu nampaknya tidak dikaitkan dengan penahanan baru-baru ini ke atas dalang penjenayah yang didakwa di sebalik aplikasi mesej rahsia, ‘Ghost’. – AFP

    Gambar generic
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda