Friday, September 27, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis cadang geledah, sita premis GISBH

    KUALA LUMPUR, 26 SEPT – Polis mencadangkan tindakan geledah dan sita terhadap premis berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Sabah dan Sarawak selepas mendapati premis-premis berkenaan tidak lagi beroperasi.

    Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi bantuan sepenuhnya kepada agensi-agensi berkaitan melalui undang-undang dan peruntukan sedia ada di kedua-dua negeri itu bagi tindakan geledah berkenaan.

    “PDRM telah mengadakan mesyuarat bersama agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan terhadap GISBH bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis organisasi tersebut di Sabah dan Sarawak.

    “Walaupun premis-premis ini didapati tidak beroperasi, PDRM akan terus memantau bagi memastikan individu yang terlibat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, dan Jabatan Pendaftaran Negara.

    Menurut Razarudin, tindakan geledah dan sita di Sabah boleh dilakukan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993, manakala di Sarawak mengikut Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata polis telah memperoleh lanjutan reman selama lima hari, bermula esok sehingga Selasa depan, terhadap tujuh suspek berkaitan GISBH yang ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

    Mengenai 10 laporan polis yang mendakwa pekerja di premis GISBH tidak dibayar gaji, beliau berkata bahawa siasatan akan dijalankan bagi meneliti pendakwaan yang boleh diambil. – Bernama

    Gambar bertarikh 23 September menunjukkan Razarudin semasa bercakap pada media berkenaan ahli GISBH yang masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar pada 1994.
    – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda